Friday, July 31, 2009

Adun Pas Permatang Pasir meninggal dunia pagi ini



GEORGETOWN:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir di Pulau Pinang, Datuk Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pagi ini kerana sakit jantung. Adun Pas itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 6.30 pagi tadi. Permatang Pasir adalah satu daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh.

sumber : Bernama

AZAM adakan Randau di Betong

Angkatan Zaman Mangsang Sarawak (AZAM) telah menganjurkan Program Randau Agenda Sosial bertempat di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.
Program Randau Agenda Sosial yang melibatkan sejumlah 53 orang peserta agensi jabatan kerajaan, sekolah, persatuan ibubapa dan guru serta badan bukan kerajaan ini juga mendapat kerjasama daripada pertubuhan Konrad-Adenauer-Stiftung, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) dan Pejabat Residen Bahagian Betong.
Ketua Unit Pembangunan Komuniti AZAM, Edwin Tawie ketika ditemui berkata Program Randau Agenda Sosial ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas daripada agensi berkaitan serta masyarakat setempat mengenai isu dan punca berlakunya masalah sosial di kawasan Pusa, Beladin dan Meludam.
“Selain itu Program Randau Agenda Sosial ini menyumbang kepada tinjauan dan penyediaan pelan tindakan bagi menangani cabaran sosial di Bahagian Betong yang akan dirangka oleh pihak KPSU.
“Dengan adanya pelan tindakan itu nanti pihak kami berharap agar dapat membasmi kemasukan masalah sosial di kawasan ini termasuklah penyalahgunaan dadah, menghidu gam, meminum minuman keras di kalangan remaja bawah umur, pergaulan bebas,” menurut beliau.
Malahan menurut Edwin Program Randau Agenda Sosial terbabit juga boleh meningkatkan jalinan kerjasama, penyelarasan dan saluran komunikasi yang lebih mantap dan berkesan antara semua agensi serta pihak yang berkenaan.
Justeru beliau berharap agar AZAM sebagai sebuah badan bukan kerajaan di negeri ini dapat terus menyumbang ke arah usaha pembangunan negara melalui proses komunikasi dan interaksi yang lebih efisien dan efektif di masa akan datang.
Program Randau Agenda Sosial terbabit bermula pada jam 8.30 pagi menerusi sesi pembentangan Agenda Sosial Negeri Sarawak yang dikendalikan oleh Aishah Edris dari Majlis Pembangunan Sosial dan Urbanisasi.
Program itu diteruskan lagi dengan sesi pembentangan bertajuk Trend dan Senario Semasa Pembangunan Sosial di Betong dan sesi randau bertajuk Menangani Cabaran Pembangunan Sosial di Bahagian Betong: Satu Perkongsian Pengalaman.
Sesi diteruskan lagi dengan perbincangan kumpulan mengenai penyediaan rangka pelan tindakan sosial untuk bahagian Betong dan sesi perbentangan kumpulan yang dipengerusikan oleh Aishah Edris.
Sesi pengulungan Program Randau Agenda Sosial di Dewan Panglima Rentap Betong pada jam 5 petang hari ini telah dihadiri oleh Residen Bahagian Betong iaitu Romie Sigan Daniel dan timbalannya (sosial) Dr Anthony Valentine Laiseh.

Tuesday, July 28, 2009

'Saya tidak berniat hina kaum Iban' - Abdul Hadi

KEPALA BATAS 27 Julai - Bukannya hendak meminta maaf selepas didakwa membuat kenyataan yang menyinggung kaum Iban, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) menuduh pula pemimpin Barisan Nasional (BN) memperbodohkan rakyat apabila mendedahkan kenyataannya itu.
Presiden Pas itu berkata, beliau tidak berniat menghina masyarakat kaum Iban di Sarawak melalui ceramahnya semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini.
Abdul Hadi menegaskan, kenyataannya dalam ceramah tersebut telah disilap tafsir dan pemimpin BN khususnya di Sarawak sengaja membesar-besarkan isu tersebut.
''Saya tak berniat untuk menghina dengan mengatakan mereka (masyarakat Iban) bodoh. Saya simpati kerana pemimpin BN yang membodoh-bodohkan rakyat.
''Mereka bodohkan rakyat sehingga rakyat di sana (Sarawak) tidak boleh membuat keputusan berani untuk menyokong kita (pakatan pembangkang)," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada sesi Ceramah Khas Sempena Hari Pekerja anjuran parti itu di Kompleks Sukan Bertam, di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi Pas, Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Pas negeri, Salleh Man.
Abdul Hadi dalam ceramahnya semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan baru-baru ini menyifatkan rakyat Batang Air tidak tahu mengundi kerana mereka masih pakai cawat lagi.
Dalam ceramah itu, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata: ''Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Air sahaja, kita kalah sebab mereka ini tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina, tetapi tempat yang pakai molek, undi Pas."
Kenyataan Hadi itu dilaporkan menyinggung perasaan masyarakat Iban di negeri tersebut kerana dilihat 'merendah-rendahkan' mereka khususnya di Lubok Antu.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang baru-baru ini mendesak Abdul Hadi meminta maaf atas kenyataannya itu yang dibuat berdasarkan fakta yang tidak benar.
Sementara itu, Mohamad Sabu dalam ceramah tersebut mempelawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyertai pakatan pembangkang untuk bersama mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
''Saya fikir kalau Pak Lah (Abdullah) serius hendak mansuh ISA, kita jemput beliau keluar UMNO dan sertai Pakatan Rakyat," katanya.

sumber : Utusan Malaysia

Friday, July 24, 2009

Kepimpinan Najib diyakini belia berpendidikan tinggi

KUALA LUMPUR – Golongan belia di negara ini yakin kepimpinan, keupayaan dan prestasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari, menurut hasil tinjauan Yayasan Kerjasama Malaysia.
Tinjauan itu juga mendapati 64 peratus golongan belia berpendidikan tinggi di negara ini menyatakan sokongan padu mereka terhadap kewibawaan Najib.
Malah, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri serta konsep 1Belia yang dicanang oleh Kementerian Belia dan Sukan masing-masing mencatatkan sokongan majoriti responden dengan masing-masing 76 peratus dan 74 peratus.
Fellow Utama yayasan itu, Prof. Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin berkata, hasil rumusan tinjauan menunjukkan golongan belia berpendidikan tinggi menaruh kepercayaan terhadap Najib sebagai pemimpin yang boleh diharapkan rakyat dan bukannya pemimpin retorik semata-mata.
“Golongan ini percaya Perdana Menteri telah berjaya menangani isu-isu nasional dengan baik meliputi hubungan antara kaum, ekonomi, hubungan antarabangsa serta politik dalaman negara.
“Kira-kira 60 peratus daripada mereka juga beranggapan masa depan politik di negara ini adalah stabil di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau yang juga Fellow Penyelidik Utama Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, golongan belia berpendidikan tinggi di negara ini menampakkan kematangan apabila menilai Najib daripada sudut ketelusan dan prestasi.

sumber : utusan malaysia

Wednesday, July 15, 2009

Bukti rakyat kembali yakin kepada BN: Najib



SHARM EL-SHEIKH: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau berpuas hati dengan perubahan yang berlaku pada pilihan raya kecil Manek Urai kerana ia menunjukkan usaha yang dilakukan sepanjang 103 hari beliau menjadi Perdana Menteri mulai diterima rakyat, terutama pengundi Melayu. Katanya walaupun Barisan Nasional (BN) tewas dengan majoriti 65 undi, keputusan itu amat memberangsangkan lebih-lebih lagi ia berlaku di kawasan majoriti Melayu. “Mudah-mudahan sokongan dan kepercayaan rakyat yang kian bertambah ini akan berterusan,” kata Najib yang juga Pengerusi BN kepada wartawan Malaysia di bandar peranginan Mesir di Laut Merah ini untuk menghadiri sidang kemuncak ke-15 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Pas mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai setelah calonnya, Mohd Fauzi Abdullah mengalahkan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi setelah memperoleh 5,348 undi berbanding BN, 5,283 undi. “(Keputusan) ini bererti keyakinan rakyat terhadap BN sudah dapat kita pulihkan dan sekiranya kita meneruskan usaha-usaha yang telah dimulakan, saya percaya kedudukan Barisan Nasional akan menjadi lebih mantap lagi Insya-Allah. “Kita tidak boleh merasakan bahawa segala-galanya telah pun kita lepasi ujiannya tetapi saya begitu puas hati bahawa apa yang telah kita mulakan selama 103 hari ini menampakkan sambutan rakyat yang menggalakkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata beliau telah pun menyampaikan penghargaan dan tahniah beliau kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dan juga calon BN sendiri. “Walaupun kita tidak berjaya tetapi ini satu kemenangan moral yang besar kepada BN,” kata Najib, merujuk kepada perbezaan besar majoriti 65 undi yang dimenangi Pas berbanding majoriti 1,352 undi pada pilihan raya umum tahun lalu. Mengenai jumlah undi rosak sebanyak 117 undi, iaitu melebihi undi majoriti kemenangan Pas, Najib berkata, BN belum mengetahui punca mengenai undi rosak tersebut. Katanya BN akan membuat bantahan sekiranya didapati wujud perkara yang meragui semasa pilihan raya itu.
Jika tidak, kata beliau, BN tetap menerima keputusan itu dan menganggapnya sebagai kemenangan moral untuk BN. Mengenai isu-isu yang mempengaruhi pengundi di Manik Urai, Perdana Menteri berkata: “Kami perlu menilai sama ada mereka dipengaruhi oleh isu tempatan atau nasional atau gabungan kedua-duanya. “Tetapi, walau apa pun kami puas hati bahawa terdapat perubahan yang berlaku di Manek Urai. Dan ia kawasan majoriti Melayu,” katanya. -
Sumber : Bernama

Saturday, July 11, 2009

100 hari PM: Hadiah dari Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 11 hadiah kepada rakyat sempena 100 hari sebagai perdana menteri hari ini.Perkara itu diumumkannya di majlis 100 Hari Najib Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan turut disiarkan secara langsung oleh RTM:

1.Pengguna kad prabayar, Smart Tag dan Touch n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka layak menerima diskaun 20 peratus.
2. Kerajaan akan tawarkan 44,000 unit perumahan rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.
3. Penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen baru mereka berkuat kuasa serta-merta.
4. Kerajaan menambah 3,000 lagi permit teksi yang permohonannya diluluskan dalam masa tiga bulan akan datang.
5. Langkah-langkah drastik bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah.
6. Permohonan pendaftaran kelahiran dipermudahkan di Sabah dan Sarawak.
7. Pembinaan jalan ditambah di Sabah dan Sarawak.
8. Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah dan Sarawak.
9. Kadar bayaran latihan menunggang motosikal bagi kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.
10. Peruntukan untuk Tekun ditambah RM150 juta dan RM15 juta disediakan untuk usahawan muda kaum India11. Tabung unit amanah baru dinamakan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan.

sumber : malaysiakini

Friday, July 10, 2009

Vandalisme Punca Kejutan Elektrik, MDSA

Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) tidak menolak kemungkinan bahawa faktor vandalisme sebagai punca penyebab utama kematian seorang kanak-kanak di kawasan perkarangan luar Mini Stadium Sri Aman baru-baru ini.
Terdahulu seorang kanak-kanak lelaki terbunuh sekitar waktu petang pada 28 Jun lalu apabila sedang bermain dengan rakan-rakannya permukaan lantai dan tanah yang masih basah akibat cuaca hujan di perkarangan kawasan luar Mini Stadium Sri Aman.
Mangsa dipercayai mati setelah terkena renjatan elektrik dari punca kerosakan sistem pendawaian yang disebabkan oleh aktiviti vandalisme di kawasan perkarangan luar mini stadium berkenaan sebelum ini.
“Pihak majlis bersama pihak SESCO telah melancarkan siasatan ke tapak kejadian kemalangan terbabit untuk menyiasat punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa kanak-kanak lelaki itu.
“Menerusi hasil siasatan awal dalaman, pihak majlis tidak menolak kemungkinan bahawa kegiatan vandalisme ke atas sistem pendawaian elektrik di mini stadium sehingga menjurus kepada kejadian malang terbabit,” kata Setiausaha MDSA, Jack Aman Luat menerusi sidang media di bilik persidangan MDSA kelmarin.
Beliau melahirkan rasa kesal kerana pihak media menuduh MDSA bersalah dalam kes kemalangan ini berasaskan dakwaan yang dibuat oleh Parti Tindakan Demokratik.
Beliau menegur akhbar bahasa Cina yang menriarkan berita serta menyataan yang mengkritik MDSA tanpa menghubungi pihaknya untuk mendapat penerangan atau maklum balas.

sumber : sarawakupdate