Monday, October 24, 2011

Taib bercadang ubah pelan Bandar Betong


TAHNIAH...Taib menyerahkan replika cek hadiah wang tunai kepada wakil Kumpulan Wardah sambil disaksikan oleh Ragad dan tetamu khas yang lain pada majlis itu.

BETONG, Sabtu (22 Okt) – Kerajaan bercadang untuk mengubah kembali pelan pembinaan Bandar Betong supaya ia menjadi luas berbanding sebelumnya selepas ini kata Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Jelas beliau pelan Bandar Betong ia sedia ada sekarang nampak begitu kecil dan perlu dirombak kembali oleh kerajaan agar ia dapat dibina dengan lebih besar secara sedikit demi sedikit selepas itu.
“Saya telah bercakap dengan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu (Timbalan Ketua Menteri) berhubung perkara ini selepas meninjau keadaan Bandar Betong dari atas udara dengan menggunakan helikopter.
“Mungkin pelan Bandar Betong sebelum perlaksanaan SCORE (Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak) dulu nampak kecil sangat...jadi mungkin saya terpaksa ubahkan ia (pelan) agar menjadi lebih besar dan ubahkannya sedikit demi sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Nasyid Peringkat Negeri Sarawak 2011 bertempat di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong malam tadi.
Selain itu Taib juga berharap agar perubahan terhadap pelan Bandar Betong berkenaan akan dapat mengumpul lebih daripada 100,000 orang penduduk menjelang tahunm 2030 kelak.
“Justeru saya yakin bahawa Bandar Betong boleh menjadi bandar sihat dan mengikut jejak langkah lain-lain bandar baru dalam negeri ini seperti di Kota Samarahan, Lawas, Mukah, Kapit serta Bintulu,” katanya.
Beliau juga yakin bahawa Bandar Betong akan menjadi tumpuan orang dari kawasan luar bandar yang pergi ke situ dengan menggunakan kenderaan dan bukannya melalui pengangkutan sungai menjelang 10 tahun akan datang.
Bandar Betong pada masa itu kata Taib akan mempunyai seramai 50,000 orang penduduk dan barangan keperluan boleh didapati oleh mereka seperti mana yang ditawarkan di Bandaraya Kuching,
Hadir sama ialah isteri beliau, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz, Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman dan para ketua jabatan kerajaan.
Terdahulu Kumpulan Wardah dari Bahagian Sri Aman telah dinobatkan sebagai johan Kategori Tradisi dan sekaligus membawa pulang hadiah wang bernilai RM3,500, sijil dan piala dengan Kumpulan Nadil Nadrawi dari Samarahan memperoleh kedudukan naib johan pada pertandingan itu.
Manakala Kategori Moden menyaksikan Kumpulan Amani dari Limbang muncul johan dan sekaligus membawa pulang hadiah wang bernilai RM3,500, sijil dan piala dengan Kumpulan Aiman dari Sri Aman memperoleh kedudukan naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,500, sijil serta piala pada pertandingan itu.
Tamat.


Posted by sriamannews at Saturday, October 22, 2011

by Jessica Jawing. Posted on Utusan Borneo October 23, 2011, Sunday

PRESTASI PELAKSANAAN KHAS: Uggah menunjukkan carta prestasi pelaksanaan projek dilaksanakan di Sarawak yang menyaksikan 228 projek siap dilaksanakan, semalam


KUCHING: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas semalam menyangkal dakwaan yang dibuat ketua pembangkang baru-baru ini berhubung pelaksanaan projek yang belum dimulakan di negeri ini.Antara dakwaan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Oktober lalu di Bangunan Parlimen ialah 92 peratus daripada 310 projek yang diluluskan di Sarawak masih belum dilaksanakan sehingga kini, selain mendakwa cuma empat peratus daripada projek ditawarkan adalah secara tender.Bagaimanapun, Uggah menyifatkan dakwaan Anwar itu sebagai satu pembohongan yang bertujuan memburuk-burukkan kerajaan dan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).“Sedangkan pada hakikatnya sejumlah 228 projek atau 74 peratus daripada 310 projek siap dilaksanakan dengan kos RM197 juta.“Hanya 41 buah projek (13 peratus) yang belum lagi bermula, manakala 41 lagi projek (13 peratus) sedang dalam pelaksanaan. Sementara itu, 95 peratus daripada keseluruhan projek-projek ini dibuat secara tender berbanding empat peratus didakwa Anwar,” katanya pada sidang media di sini, semalam.Ahli Parlimen Betong itu berkata, antara projek yang belum bermula termasuk pembinaan Jambatan Batang Sadong dan Hospital Sri Aman yang masing-masing dianggarkan bernilai RM200 juta.Bagaimanapun, kata beliau, kerja-kerja utama pembinaan Hospital Sri Aman berkenaan akan bermula tahun depan, sementara dua orang pakar telah ditempatkan di hospital yang sedia ada.Selain projek berkenaan, kata Uggah, kerajaan juga melaksanakan kerja pembinaan jalan raya Kapit-Song yang bernilai RM90 juta serta kerja pembinaan loji rawatan air Kapit dengan kos RM28 juta.“Dalam masa terdekat, saya dan ahli jawatankuasa akan melawat Marudi dan Belaga untuk memantau pelaksanaan dua batang jalan raya yang dilaksanakan di bawah Program Jiwa Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia,” tegasnya yang juga merupakan menteri bertanggungjawab memantau kesemua projek terbabit.Menurut beliau, projek yang telah diluluskan berkenaan dianggarkan bernilai RM2.3 bilion kesemuanya, yang diumumkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika ‘walkabout’ di Sarawak semasa pilihan raya lepas.Justeru, kata Uggah, beliau amat kesal dengan dakwaan tidak bertanggungjawab ketua pembangkang itu kerana ia akan mengelirukan rakyat.“Bagaimanapun, saya yakin rakyat di negeri ini tidak mudah dikelirukan dan terus akan menyokong kerajaan BN,” ujarnya.