Tuesday, January 10, 2012

RM4.2 juta pampasan tanah diagih di beberapa kawasan di Betong

BETONG: Sejumlah RM4.2 juta pampasan tanah telah diagihkan kepada masyarakat di beberapa kawasan di Betong yang telah terlibat dengan beberapa projek yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun lepas.
Ia meliputi projek penaiktarafan dan pembinaan jalan di beberapa kawasan seperti Jalan Nanga (Ng.) Linsum/Mara/Melanjan/Jelang/Luing/Kerapa sepanjang 8.1 kilometer (km), Jalan Mara/Selangking /Kerapa/Luing/Temedak sepanjang 17.3 km dan Jalan Luing/Gerugu/Penyuin/Ijok/Muman sepanjang 7.2 km.
Penyerahan pampasan ini adalah melibatkan 262 penerima dari beberapa kawasan di Betong dan upacara itu telah dilangsungkan di Rumah Lanyau Jembu@Johnical, Ng Linsum, Layar, Betong, pada 08 Januari 2012 di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Betong dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong.
Majlis Pemimpin Bersama Rakyat berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Jabu dalam majlis tersebut berkata, rampasan tanah rakyat sebenarnya tidak berlaku seperti yang diperkatakan oleh pihak pembangkang yang sengaja membangkitkan isu tersebut di kawasan pedalaman.
“Jadi isu merampas tanah rakyat yang tanpa sebarang pampasan adalah jelas tidak berlaku selama ini seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang, malahan kerajaan melalui Inisiatif Baharu Tanah Adat Bumiputera (NCR) telah mengiktiraf semua tanah di kawasan Ulu Layar, Betong sebagai tanah NCR.
Proses pengukurannya telah siap dan kini menunggu masa untuk diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
“Sejak tahun 2008 sehingga hari ini, jumlah pampasan yang telah dibayar di bahagian Betong adalah sebanyak RM15.3 juta yang melibatkan seramai 2,107 orang penerima bagi 49 projek.
“Apakah itu dikatakan merampas tanah rakyat, malahan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan di kawasan pendalaman adalah untuk kepentingan rakyat juga.
“Justeru, dakwaan mengatakan kerajaan merampas tanah rakyat ternyata tidak berasas jika dilihat kepada jumlah pampasan yang telah dibayar,” kata Jabu.
Katanya, dengan terbinanya hubungan jalan raya itu nanti, beliau yakin yang perjalanan penduduk dari kawasan pedalaman yang selama ini untuk pergi ulang-alik ke bandar Betong mengambil masa satu hari menggunakan perahu akan menjadi lebih mudah dan singkat.
Di majlis tersebut juga, beliau turut menyeru agar rakyat di kawasan pedalaman tidak mudah terpedaya dengan muslihat pihak pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong demi kepentinganya apabila menjelang pilihan raya.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Kebajikan Sarawak Robert Lawson Chuat, Residen Betong Datu Romie Sigan Daniel dan wakil Penguasa Tanah dan Survei Betong Bakeri Samsudin.

Monday, January 9, 2012

31 pintu Rumah Malang Ugap, tinggal sehelai sepinggang



MUSNAH: Keadaan Rumah Malang yang musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.


BETONG: Tiga puluh satu daripada 35 buah keluarga dari Rumah Malang Ugak, Lubau, Layar di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Kebakaran yang tidak melibatkan kemalangan jiwa itu melibatkan kira-kira 200 orang penghuni rumah panjang berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Betong berkata, kebakaran dipercayai bermula pada kira-kira jam 2.30 pagi semalam.
Beliau menjelaskan, hanya empat buah bilik yang terselamat dalam kebakaran itu.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 pagi dan apabila bomba dengan kekuatan 15 anggota tiba di tempat kejadian, 50 peratus rumah panjang itu sudah ranap dijilat api.
“Kami berjaya memadamkan api sepenuhnya pada kira-kira jam 6.10 pagi dan jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya semalam.
Rumah Malang terletak kira-kira enam kilometer dari simpang Layar, Betong.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Uggah Embas dan
Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat turut bergegas melawat tempat kejadian.


sumber :utusansarawak