Monday, April 23, 2012

Terokai Pertanian Moden, Uggah









oleh Affendi Mohd Yusof

Masyarakat tani tradisional dan sara diri di Betong disarankan supaya meneroka pertanian moden berskala lebih besar yang memerlukan komitmen tinggi.

Berucap di majlis penyerahan bantuan pertanian kepada 40 orang penerima yang berjumlah RM200,000 ahli parlimen Betong, Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata permintaan untuk hasil pertanian di pasaran tempatan sangat besar dan sentiasa bertambah.

Uggah berkata industry penternakan kambing dan lembu adalah dua bidang yang berpotensi besar untuk diceburi kerana ia mempunyai potensi yang sangat baik.

Namun begitu, beliau menegaskan bidang penternakan memerlukan komitmen yang serius serta disiplin yang tinggi kerana projek-projek terdahulu yang dibantu kerajaan gagal membuahkan hasil akibat sikap sambil lewa peserta.

“Ada yang menggunakan duit untuk pagar membeli motosikal dan ada juga yang menyembelih lembu baka kononnya ia terlalu ganas,” tegur Uggah, membuatkan hadirin yang hadir ketawa, sambil mengingatkan bahawa petani Cina menternak sehingga 10,000 ekor khinzir seorang sedangkan masyarakat desa masih terkial-kial memelihara 10 hingga 20 ekor ternakan.

Uggah berkata selain daging dan hasil tenusu, najis ternakan seperti kambing dan lembu juga boleh dijual menjadi baja organik.

“Masyarakat Bandar kini mulai sedar tentang bahaya racun dan baja kimia, maka permintaan untuk baja organik semakin meningkat,” katanya.

Uggah yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata percubaan beliau menanam tomato secara fertigasi di rumahnya berjaya menghasilkan buah berjumlah 200 kilogram.

“Cara moden begini perlu diterokai petani tempatan kerana ia menjana hasil yang lumayan tanpa memerlukan kawasan yang luas, pihak berwajib perlu membimbing petani di desa tentang inisiatif moden begini,” ujar beliau.

Uggah berkata pertanian moden yang lebih produktif perlu diperkenalkan secara meluas di kalangan pertanian tempatan.

“Kita perlu ubah cara bertani untuk meningkatkan hasil dan seterusnya menambah pendapatan rakyat. Selaku pemimpin adalah menjadi tanggungjawab kami memikirkan bagaimana untuk membantu rakyat memperolehi pendapatan yang lebih baik untuk mencapai kesenangan,” katanya.