Sunday, September 9, 2012

KEMAS dsaran pelbagai program

by Kelvin Lambai. Posted on September 9, 2012, Sunday

RASMI: Uggah (tengah) dan Frida (empat kanan), Friday (dua kiri) serta tetamu jemputan memotong pulut kuning sebagai tanda perasmian tersebut.

BETONG: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) disaran agar terus mempelbagaikan program dan aktiviti dalam usaha memupukkan kesejahteraan rakyat.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata, minda rakyat perlu digerakkan agar mereka seiring dengan transformasi pembangunan kerajaan dari semasa ke semasa.
“Justeru, kerjasama KEMAS dan pelbagai agensi kerajaan harus dipupuk dan bersepadu agar setiap matlamat tersebut tercapai,” ujarnya.
Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Hari Raya Aidilfitri Bersama Kakitangan KEMAS Betong di Dewan Santapan Rumah Rehat Kerajaan Betong, kelmarin.
Uggah berkata, beliau amat berpuas hati dengan komitmen serta pelbagai program yang dianjurkan oleh KEMAS khususnya di Parlimen Betong sambil berharap program-program murni tersebut diteruskan dari semasa ke semasa.
“Kami wakil rakyat di sini akan terus membantu dan menyokong setiap program KEMAS,” katanya.
“Kita mahu melihat transformasi kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih baik mendapat kerjasama daripada semua agensi. Kita juga berharap KEMAS sentiasa di hadapan untuk menyampaikan setiap dasar murni kerajaan ke peringkat akar umbi,” katanya.
Di samping itu, Uggah menyifatkan penganjuran program ramah-tamah ini sebagai pengukuh silaturahim di mana semua kaum boleh meraikannya dan dapat memupuk semangat perpaduan di antara anggota KEMAS.
Menurut Uggah lagi, kerajaan akan terus memperkasakan pelbagai program dalam usaha memupuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat agar nasib mereka terus terbela.
Dalam pada itu, majlis berkenaan dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu raya daripada anggota KEMAS dan pencalonan pakaian tercantik dan unik.
Turut hadir ialah Pegawai KEMAS Daerah Betong Frida Suntik, Pegawai Daerah Betong,Friday Belik serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Print Friendly