Friday, September 18, 2009

Jangan hanya menunggu musim pilihanraya, ugah


Rakyat tidak sewajarnya menunggu musim pilihanraya untuk mengemukakan masalah pembangunan kepada kerajaan kata Naib Presiden Kanan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Douglas Uggah anak Embas.
Ini kerana menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu rakyat boleh memaklumkan kepada pemimpin di setiap kawasan masing-masing pada bila-bila masa tanpa menunggu tibanya waktu pilihan raya di negeri ini.
“Masalah pembangunan rakyat di sesebuah kawasan boleh diselesaikan segera sekiranya mereka bertindak awal mengutarakan masalah itu kepada kerajaan menerusi wakil rakyatnya di kawasan masing-masing.
“Mereka tidak harus menyimpan masalah ini untuk dikemukakan kepada kerajaan apabila tiba pilihan raya memandangkan pihak pembangkang boleh menjadikan masalah itu sebagai isu untuk menentang kerajaan pada waktu pilihan raya kelak,” menurut Ahli Parlimen Betong berkenaan.
Uggah berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB cawangan N.32 Bukit Saban bertempat di Dewan Serbaguna Spaoh, Betong hari ini.
Selain itu katanya sekiranya projek pembangunan kerajaan dilaksanakan awal di kawasan rakyat maka pihak pembangkang akan menghadapi kesukaran untuk mencari ‘modal’ bagi menentang kerajaan ketika menjelang pilihan raya di negeri ini.
“Ahli PBB di kawasan ini (N.32 Bukit Saban) misalannya boleh bertindak melaporkan kepada pihak atasan sekiranya terdapat pihak pemaju yang gagal melaksanakan projek pembangunan dengan baik.
“Justeru saya berharap agar rakyat tidak melengah-lengahkan masa untuk melaporkan masalah pembangunan di kawasan masing-masing kepada kerajaan selepas ini demi kebaikan hidup mereka pada masa akan datang,” kata Uggah.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban merangkap Pengerusi PBB cawangan N.23 Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Saban, Tony Malang Chabu dan Setiausaha Cawangan PBB Bukit Saban, Dr Richard Rapu.
Terdahulu, Pengerusi PBB cawangan N.32 Bukit Saban, Robert Lawson Chuat berkata formula kekuatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selama ini sebenarnya terletak pada peranan yang ditunjukkan oleh kedua-dua sayap dalam parti terbabit iaitu PESAKA dan Bumiputera.
Beliau berkata kefahaman serta toleransi yang wujud dalam kedua-dua sayap parti terbabit selama ini nyata berjaya membentuk hubungan perpaduan yang kukuh dikalangan ahli partinya sehingga sekarang.
“Perpaduan dalam PBB terbukti apabila parti PEKASA yang mewakili orang Dayak dan parti Bumiputera yang mewakili orang Melayu berjaya bergabung untuk membentuk parti tulang belakang Kerajaan Negeri terbabit tanpa sebarang masalah hingga sekarang.
“Faktor ini telah menjurus kepada kekuatan utuh PBB sehingga rakyat yakin dengan peranan kita untuk memperjuangkan kebajikan hidup mereka sehingga ke masa sekarang,” menurut beliau ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan PBB cawangan N.32 Bukit Saban bertempat di Dewan Serbaguna Spaoh, Betong hari ini.
Sementera itu Lawson yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menasihatkan semua ahli PBB cawangan N.32 untuk mengembangkan perlaksanaan konsep 1Malaysia dikalangan penduduk dalam kawasan masing-masing.
Katanya penyebaran konsep 1Malaysia dikalangan penduduk adalah amat penting untuk menyakinkan mereka bahawa kerajaan tidak akan sesekali mengenepikan hak dan kebajikan hidup rakyat dalam negara ini.
“Kita mahu konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini diterima dikalangan rakyat berbilang kaum terutama sekali dalam kawasan DUN Bukit Sabam
“Menerusi konsep ini kita mahu rakyat agar sentiasa menyokong usaha pembangunan oleh kerajaan dan tidak mahu mereka bimbang bahawa hak serta kebajikan mereka diketepi proses pembangunan negara ini,” katanya.
Majlis yang dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Douglas Uggah Embas itu turut dihadiri oleh Senator Dato Sri Empiang Jabu, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Saban, Tony Malang Chabu.
PBB cawangan N.32 Bukit Saban sehingga kini mempunyai 17 ranting parti. Tiga daripada jumlah keseluruhan tersebut adalah merupakan ranting ‘protem’ yang baru ditubuhkan baru-baru ini.

1 comment:

YANG GAMBI said...

Salam sahabat,

SELAMAT HARI RAYA ‘IDIL FITRI
Maafkanlah kat kawan kalau ada terlajak tulis, terpanjang tajuk, terumpat keji dari ujung rambut sampai ke kaki………….