Monday, October 19, 2009

Anak muda perlu merantau cari pengalaman, Ugah

Anak Sarawak mesti berani merantau mengintai peluang pekerjaan di Semenanjung Malaysia untuk mencari pengalaman serta memenuhi keperluan sumber tenaga negara, Menteri Sumber asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah anak Embas.
Anak tempatan katanya jangan menyempitkan pencarian pekerjaan terhad di Sarawak sahaja memandangkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia juga turut menawarkan peluang pekerjaan dengan kadar upah yang tinggi.
“Lagipun tambang pengangkutan udara dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan kini juga kini semakin murah.
“Golongan muda Sarawak memanfaatkan peluang ini untuk mencari pendedahan di Semenanjung Malaysia dan kembali semula ke Sarawak suatu hari nanti sebagai tenaga mahir yang berpengalaman luas dalam memajukan negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jubli perak dan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Ke-25 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang bertempat di Dewan Sri Kenanga, Sekolah Menengah Teknik (SMT) Betong hari ini.
Selain itu Uggah juga mengalakkan para pelajar di negeri ini untuk menyambung pelajaran ke sekolah vokasional bagi mengisi peluang pekerjaan yang berkaitan dengan bidang kemahiran teknik selepas ini.
Malaysia pada masa kini menurut beliau ternyata mengalami kekurangan tenaga kerja tempatan dan ia terbukti menerusi kehadiran dua juta pekerja asing dalam negara ini menerusi statistik yang dikeluarkan tahun 2008.
“Rata-rata kerja kosong yang melibatkan kemahiran teknik di negara ini telah diisi oleh pekerja kerana ketiadaan tenaga kerja tempatan. Justeru diharap agar ibubapa mengalakkan anak-anak menyambung pelajaran ke sekolah vokasional bagi mengisi kerja kosong yang membabitkan kemahiran teknik di masa akan datang,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Timbalan Pengarah Bahagian Teknik dan Vokasional Sarawak, Haji Zakaria Mohd Noor, Pengetua SMT Betong, Ng Fook Yin, Timbalan Residen Betong, Haji Pathii Kerni dan para pegawai kerajaan dalam daerah ini.
Uggah pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bagi tahun 2010 bernilai RM10,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMT Betong

No comments: