Tuesday, October 6, 2009

Kehadiran ramai pembangkang tiada manfaat, Taib


News

Kerajaan negeri mampu melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial demi kepentingan penduduk di Sarawak tanpa menunggu kritikan daripada pihak luar kata Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Ini kerana Dasar Politik Pembangunan yang diperkenalkan oleh beliau dahulu telah menyebabkan berlakunya perubahan pesat dari ekonomi dan sosialogi penduduk di Sarawak dengan penuh lancar.
“Berbanding dengan Semenanjung Malaysia, orang di sana fikir bahawa kehadiran lebih ramai pihak pembangkang dalam kerajaan akan membawa lebih banyak perubahan namun soalnya sejauh mana kebaikan langkah itu?
“Nampaknya tidak banyak manfaat yang mampu diperolehi dengan kehadiran ramai pembangkang memandangkan sering berlakunya pertelingkahan dan percanggahan terutama sekali dalam kerajaan yang ditadbir oleh pembangkang setakat ini,” menurut beliau.
Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB bertempat di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini.
Beza perubahan yang dialami oleh penduduk di Semenanjung Malaysia berbanding dengan penduduk di sini kata beliau membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai ‘resepi’nya yang tersendiri untuk membangunkan hidup penduduk.
“Dasar Politik Pembangunan nyata mendapat penyertaan daripada penduduk di negeri kita kerana kerajaan telah merancangkan pelbagai pelan pembangunan demi membawa perubahan terhadap hidup mereka secara beransur-ansur.
“Inilah kelebihan politik Sarawak berbanding dengan politik di Semenanjung. Negeri kita terus kekal aman dengan adanya perubahan dari segi pembangunan taraf hidup penduduk untuk sepanjang masa,” menurut beliau.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden I, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Timbalan Presiden II, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Douglas Ugah Embas, Setiausaha Agong, Dr Stephen Rundi, para ahli Majlis Tertinggi PBB, ketua cawangan, para menteri dan menteri muda serta wakil rakyat di sini.
Pehin Sri Taib telah merasmikan mesyuarat perwakilan yang melibatkan 11 buah cawangan PBB antaranya ialah PBB Lingga, Beting Maro, Bukit Begunan, Simanggang, Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka dan Krian.
Terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berikrar akan menentang pihak pembangkang habis-habisan.
Ini kerana pihak pembangkang seperti Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demoktarik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menurut beliau dilihat sebagai penghalang utama tranformasi pembangunan di negeri ini.
“Ia terbukti pada 10 Oktober 1996 dahulu apabila pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Kanowit yang didalangi pihak DAP bangkit menentang usaha kita untuk membangunkan tanah NCR mereka bagi tujuan pembangunan.
“Pembangunan tanah NCR dilihat sebagai salah usaha untuk membangunan hidup penduduk di kawasan luar bandar namun kehadiran pihak pembangkang tersebut telah menyebabkan usaha kita terganggu,” menurut beliau.
Jabu yang Timbalan Presiden II PBB berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB bertempat di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini.
Selain itu beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut mendedahkan sikap ‘kurang baik’ pihak pembangkang terbabit apabila PKR datang ke Sarawak dan tidak menghormati adat resam penduduk di sini.
“Atas sebab ini PBB sebagai tulang belakang kerajaan akan menentang habis-habisan pihak pembangkang demi memperjuangkan nasib hidup penduduk di negeri ini,” menurut beliau.
Jabu pada majlis itu turut mengumumkan usul secara sebulat suara pihak PBB yang mahukan Pehin Sri Haji Abdul Taib kekal tanpa bertanding untuk jawatan presiden parti itu pada Mesyuarat Agong PBB pada masa akan datang.

No comments: