Friday, November 6, 2009

Jabu: Persatuan Tuai Rumah mesti ingat pesan PM


YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Anak Numpang sedang menyampaikan Anugerah Pelajar Cenerlang 2009.

Permintaan kenaikan elaun Tuai Rumah atau Ketua Kampung perlu dirujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tujuan tindakan lanjut. “Bayaran elaun itu untuk membolehkan mereka menjalankan tugas sebagai Ketua Kampung atau Tuai Rumah,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Augustine Betong di sini hari ini.
Selain itu Jabu juga mahu Persatuan Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili bersabar menunggu maklumbalas lanjut daripada pihak kerajaan berhubung perkara kenaikan bayaran elaun terhadap mereka selepas ini.
Katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin ada menegur Ceupacs kerana meminta mendapatkan bonus pada masa kerajaan sedang bergelut untuk keluar dari kemelesatan ekonomi sekarang.
“Justeru saya berharap agar persatuan terbabit dapat mendengar nasihat Perdana Menteri kita berhubung hal itu selepas ini,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik dan Pengetua SMK Saint Augustine Betong, Paul Langgang.
Seramai 88 orang pelajar Tingkatan 3, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 SMK Saint Augustine Betong menerima sijil dan hadiah menerusi majlis berkenaan.Terdahulu Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Daerah Kecil Engkilili, Kanselor Tuai Rumah Roy Edward Entalai sebelum ini telah merayu pihak Kerajaan Negeri untuk menaikkan bayaran elaun Tuai Rumah atau Ketua Kampung yang sedia ada sekarang untuk mengelakkan mereka dikategorikan sebagai golongan Miskin Tegar selepas ini.

Sumber : Sarawakupdate

No comments: