Monday, November 30, 2009

Pencapaian pendidikan perlu seimbang dengan 'pelaburan kerajaan' kata Jabu




SIMBOLIK........Jabu sambil disaksikan oleh Uggah (kiri), Lawson (kanan) dan Romie (belakang) sedang melepaskan anak ikan sebagai salah satu acara simbolik majlis di sini hari ini.







SPAOH, Sabtu (28 Nov) – Pencapaian pendidikan di Bahagian Betong harus setimpal dengan penyediaan kemudahan pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan terhadap rakyat di sini selepas ini demikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.
Menurut beliau adalah tidak berbaloi sekiranya pencapaian pendidikan di sini kurang memuaskan walaupun kerajaan telah banyak menyediakan kemudahan pendidikan di Bahagian Betong sehingga sekarang.
“Disamping jumlah sekolah rendah dan sekolah menengah yang mencukupi untuk menampung jumlah kapasiti pelajar di Betong, kerajaan di sini juga turut membuka sekolah teknikal terbaru yang dikenali sebagai Junior Mara Science School, Maktab Rendah Sains Mara Betong.
“Kerajaan mahu penyediaan kemudahan pendidikan di sini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat. Dengan kata lain pencapaian pendidikan mereka harus seiring dengan kemajuan pembangunan pendidikan yang kita sediakan di sini sekarang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Paku Central di Spaoh, Betong hari ini.
Selain itu sikap serius kerajaan dalam mewujudkan keseimbangan pendidikan di sini menurut Jabu terbukti dengan adanya pelan pembinaan politeknik menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 nanti.
“Justeru semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan di sini iaitu guru, ibubapa dan pelajar perlu menekankan betapa pentingnya aspek pendidikan dalam golongan generasi muda demi masa depan hidup mereka selepas ini,” katanya.
Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel.
Beliau mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru SK Paku Centreal dan RM10,000 lagi untuk tabung pendidikan sekolah terbabit.
Manakala Uggah pula mengumumkan peruntukan bernilai RM100,000 untuk menaiktaraf sistem peparitan sekolah, RM50,000 untuk menaiktaraf jalan sekolah dan RM10,000 untuk tabung pendidikan sekolah berkenaan.
sumber:utusansriaman

No comments: