Sunday, November 1, 2009

Projek bernilai RM600,000 di perkampungan Iban, Serudit

News

Kerajaan Barisan Nasional (BN) membelanjakan sebanyak RM590,500 untuk membangunkan kawasan rumah panjang Tr Mara, Serudit B dan Jeffery Bangai, Serudit A supaya mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa selepas ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Ugah anak Embas berkata, peruntukan itu termasuklah projek pembekalan air bersih, membaiki pulih rumah panjang dan membina sistem perparitan di dua buah rumah panjang terbabit.
“Peruntukan bernilai RM60,000 bagi membina parit di rumah panjang itu sudah diluluskan dan tambahan RM100,000 lagi akan disalurkan pada tahun depan.
“Selain itu kerajaan juga telah memperuntukan sejumlah RM400,000 bagi membekalkan air bersih yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan RM10,500 untuk membaikpulih kedua-dua rumah panjang tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil JKKK dan Perasmian Biro Wanita Rumah Panjang Tr Mara, Serudit B, Betong, kelmarin.
Selain itu Uggah menerusi majlis itu juga turut memperuntukan sejumlah RM20,000 untuk membina gelanggang sepaktakraw dan gelanggang Badminton untuk golongan belia dari dua rumah panjang berkenaan.
“Walaupun rumah panjang Serudit terbahagi kepada dua iaitu A dan B tetapi saya menganggap ia adalah 1 Serudit. Justeru kedua-dua rumah panjang ini menerima peruntukan yang sama rata daripada kerajaan,” menurut beliau.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Betong, Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik dan para pegawai kerajaan.

2 comments:

YANG GAMBI said...

Salam bro,

Bersyukurlah kita sebagai warga yang sentiasa mendapat perhatin dari kepimpinan kerajaan...

Tahniah buat warga Serudit.......

Anonymous said...

macam kenal cerita tok, ha ha ha