Monday, December 14, 2009

Elektrik percuma dilanjutkan sehingga penghujung 2010

Oleh Mohd Norhadie Sahari

MIRI: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata rakyat yang menggunakan elektrik RM20 ke bawah sebulan akan terus menikmati elektrik secara percuma sehingga penghujung tahun depan.
Beliau berkata, kabinet telah bersetuju untuk melanjutkan kemudahan ini yang akan memberi manfaat kepada golongan berkenaan.
“Rakyat yang mempunyai penggunaan elektrik di bawah RM20 sebulan akan terus menikmatinya secara percuma sehingga Disember 2010,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, kemudahan ini akan memberi manfaat kepada 1.05 juta pengguna atau pemilik rumah selepas kerajaan bersetuju memperuntukkan RM11.9 juta sebulan untuk memberi kemudahan terbabit.
“Ia akan diberikan sehingga penghujung tahun depan (Disember 2010) dan Kabinet akan melakukan penilaian semula mengenai program ini tahun depan bagi memastikan ia perlu dilanjutkan atau sebaliknya,” katanya.
Menurut Chin lagi, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi tempoh setahun program tersebut dijalankan bermula Januari depan.
Dalam perkembangan lain, Chin berkata penyedia atau pengguna teknologi hijau kini boleh memohon skim pinjaman teknologi hijau sehingga mencecah RM50 juta.
“Penyedia teknologi hijau ini terutamanya syarikat asing yang ingin memohon skim ini mestilah mempunyai 51 peratus pemegang syer tempatan bagi membolehkan mereka layak untuk memohon,” katanya.
Chin menambah, antara kebaikan atau faedah bagi penyedia teknologi hijau yang memohon skim ini termasuk kerajaan membayar kadar faedah sebanyak 2 peratus.
“Jika ada pengguna tek-nologi hijau tempatan yang ingin memohon skim ini pula, maka mereka perlu memiliki 70 peratus pemegang syer tempatan dan dibenarkan meminjam sehingga RM10 juta,” katanya.
Sehubungan itu, penyedia atau pengguna teknologi hijau boleh memohon skim ini dengan menghubungi Jawatan-kuasa Lembaga Dana Tekno-logi Hijau di Pusat Teknologi Hijau Malaysia Bangi.
salah satu konsep yang diamalkan kerajaan negeri " Mesra Rakyat"
sumber : borneopost

No comments: