Monday, May 31, 2010

Pertahankan Gagasan 1Malaysia - Isik







1. KAMI JOHAN! Pasukan Biru muncul juara pertandingan sukaneka yang diadakan bersempena dengan Program 1 Malaysia bersama pemimpin di Betong kelmarin.
2. PENGHARGAAN...Isik (tengah) ketika menerima cenderamata penghargaan daripada pihak penganjur bersempena dengan program itu.
BETONG, Ahad (30 Mei) – Perlaksanaan Gagasan 1Malaysia harus dipertahankan oleh semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini dari masa ke semasa demikian menurut Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Isik anak Utau.Menurut beliau Gagasan 1Malaysia telah membantu memperkukuhkan lagi hubungan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini khasnya di Betong ke arah mewujudkan hubungan perpaduan yang lebih erat dikalangan mereka.“Kita juga perlukan Gagasan 1Malaysia untuk menjayakan perlaksanaan projek pembangunan dalam negeri ini. Kemajuan tidak akan wujud tanpa adanya penyatuan penduduk menerusi gagasan itu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Betong di Kompleks Sukan Betong kelmarin. Selain itu Isik juga mahu semua penduduk berbilang kaum untuk terus bersatu di bawah Kerajaan Negeri yang diteraju oleh Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk kesinambungan masa depan pembangunan dalam negeri ini. Beliau pada majlis itu telah mengumumkan kelulusan peruntukan bernilai RM5,000 untuk pelaksanaan program seumpama itu bagi tahun yang akan datang. Hadir sama ialah Pegawai JASA Bahagian Betong Tony Malang Chabu dan Pegawai JASA Bukit Saban, Benedict Blaki Sanggat. Terdahulu seramai 500 orang terlibat dalam aktiviti sukaneka yang diadakan bersempena dengan program hasil anjuran bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Hilir / Tengah Betong, Kampung Masjid / Passa Betong dan Ranting PBB Kampung Baru Hulu / Hilir Betong. 11 acara terbabit diperkenalkan menerusi sukaneka ini iaitu acara isi air dalam botol menggunakan span, pancing botol, lari bawa bola ping-pong menggunakan sudu, tiup belon sampai pecah, lari dalam guni berganti-ganti, bola sepak lelaki (berkain pelikat), tarik tali lelaki dan wanita, kuit, menganyam ketupat dan membuat kuih asli.Pasukan Zon Biru yang dianggotai peserta Ranting Kampung Hilir / Tengah Betong muncul juara dalam sukaneka ini. Pasukan Zon Kuning dan Zon Merah masing-masing di tempat kedua dan ketiga pada majlis berkenaan.

sumber : sriamannews

No comments: