Monday, January 10, 2011

Pemuda BN Sumbang Darah



KUCHING: Orang ramai adalah dijemput hadir ke Program Derma Darah Sukarelawan Pemuda Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan pada 9 Januari 2011 bertempat di Choice Supermall, Samariang dari jam 10 pagi sehingga 2 petang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Pemuda BN Negeri, Mohd Kamaluddin Haji Mohd Effendie, program yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dengan kerjasama Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) bertujuan untuk menambah bekalan darah yang semakin berkurangan di Bank Darah Hospital Umum Sarawak pada masa kini.
Baru-baru ini pihak HUS telah mengeluarkan kenyataan melalui akhbar bahawa bekalan darah semakin berkurangan dan memerlukan tambahan segera bagi menampung keperluan semasa.
“Adalah menjadi hasrat Jawatankuasa Sukarelawan BN untuk menyahut rayuan tersebut agar nyawa dapat diselamatkan kerana darah ini hanya dapat diperoleh daripada penderma secara sukarela. Ia tidak dapat diproses atau dibeli seperti ubat-ubatan lain. Aktiviti seperti ini akan terus dibuat di tempat-tempat lain yang juga mengalami masalah kekurangan bekalan darah, kerana tanggungajawab untuk membantu menyelamatkan nyawa orang lain merupakan satu usaha murni dan pengorbanan yang perlu diserapkan kepada golongan muda dari peringkat awal lagi. Sekiranya generasi terdahulu sanggup berkorban menumpah darah berjuang untuk mempertahankan negara, golongan muda juga perlu sanggup berkorban dengan menderma darah secara sukarela kerana perjuangan pada masakini berbeza dengan waktu dahulu.” jelas Mohd Kamaluddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung Pergerakan Pemuda PBB Negeri.
Ketua Pergerakan Pemuda PBB Sarawak yang juga Ketua Pemuda BN Sarawak, Yang Berhormat Datuk Haji Fadillah Haji Yusof serta exco-exco pergerakan pemuda daripada komponen parti BN juga akan hadir pada program itu nanti.
Program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawan dikalangan golongan belia dengan menderma darah kerana kita semua mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang memerlukan tanpa mengira agama, kaum, keturunan atau umur.
Orang ramai yang hadir menderma darah pada hari tersebut juga akan menerima cenderahati beras sebanyak 5 kilogram, makanan dan minuman daripada pihak penganjur.
Selain itu, kaunter pendaftaran untuk menjadi ahli PBB disamping persembahan kebudayaan dan hiburan oleh belia-belia dan artis-artis tempatan juga disediakan pada hari tersebut.
“Kami menyasarkan sebanyak 200 pain darah dapat dikumpul melalui program pada hari Ahad ini dan diharapkan program yang akan dijalankan sepanjang tahun ini mampu mengumpul 1,000 pain darah sebelum penghujung tahun ini,” kata beliau.
Jawatankuasa Sukarelawan Pemuda BN akan terus menjalankan pelbagai program-program khidmat komuniti dan akan berusaha menjadi pasukan bertindak cepat (Early Response Team) bagi membantu dalam perkara berkaitan bencana alam, musibah dan sebagainya. agar matlamat menampilkan semangat sukarelawan dan keprihatinan yang tinggi dapat menjadi contoh golongan belia dan generasi muda kita.
sumber :sarawakupdate

No comments: