Sumber : Affendi Mohd Yusof
Rakyat di luar bandar diminta terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional yang terbukti telah membela nasib mereka sejak dahulu lagi, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Mereka juga perlu terus bergerak selari dengan arus pembangunan yang pesat di dalam negara jika mahu nasib anak cucu mereka cerah di kemudian hari.
“Jangan sekali anda menyimpang dari arus pembangunan hanya kerana tertipu dengan janji kosong dan dakyah segelintir pihak yang kemaruk kuasa”, katanya ketika majlis penyerahan komputer riba 1 Malaysia dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di Nanga Lawih, Ulu Spak di sini hari ini.
Kerajaan menurut beliau telah melakukan perancangan teliti untuk mengubah nasib penduduk luar bandar melalui agenda transformasinya.
“Kita tidak akan berjaya dalam agenda transformasi ini jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama rakyat” ujar beliau.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Betong, Dato Sri Douglas Uggah Embas mengingatkan penduduk luar bandar supaya tidak mudah percaya dengan parti pembangkang.
“Di manakah mereka selepas selesai Pilihanraya Negeri Sarawak tahun lalu?” tanya Dato Sri Douglas yang menganggap parti pembangkang seperti parti bermusim.
Menurut beliau, hanya Barisan Nasional sahaja yang sanggup datang ke kawasan pedalaman pada waktu bukan pilihanraya kerana pemimpinnya amat komited membela nasib rakyat.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 38 buah komputer riba 1 Malaysia diagihkan kepada mereka yang layak dari setiap pintu manakala penerima BR1M pula berjumlah 350 orang.
No comments:
Post a Comment