Wednesday, January 28, 2009

Pembatalan Akta Hubungan Kaum Tepat

S’wak tidak perlu akta tersebut kerana hubungan kaum terjalin kukuh sekian lama

SIBU: Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengalu-alukan langkah kerajaan membatalkan cadangan Akta Hubungan Kaum yang ingin diperkenalkan untuk menjaga hubungan antara kaum di negara ini.
Katanya, akta tersebut adalah tidak perlu khususnya di Sarawak di mana hubungan antara kaum telah lama terjalin dengan baik serta merupakan sebahagian daripada kebudayaan masyarakat di sini yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
“Jika adanya akta ini, seolah-olah terdapat unsur-unsur paksaan untuk membuatkan orang ramai menjalinkan hubungan baik antara satu sama lain. Hubungan baik ini harus berlaku secara semulajadi.
“Langkah kerajaan membatalkan cadangan akta itu amat bertepatan,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina 2009 Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) di Pusat Agape, semalam.
Sumbangan berupa angpau kepada lebih kurang 100 kanak-kanak yang berdaftar dengan Pusat Agape itu ditaja oleh Saberkas Negeri dan Saberkas Daerah Sibu.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung Saberkas Negeri Aidan Wing, pengerusi Pusat Agape Datuk Tiong Thai King, pengerusi Saberkas Daerah Sibu Jason Tai Hee serta yang lain.
Terdahulu Abang Johari diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohamed Shafie Apdal kelmarin, yang menyatakan kabinet telah menolak cadangan Akta Hubungan Kaum untuk dibentang serta diluluskan di Parlimen.
Abang Johari yang juga Timbalan Presiden Saberkas memberitahu, dalam konteks Malaysia Baru sebagaimana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semua rakyat negara ini mempunyai peluang yang sama untuk meningkatkan diri dalam suasana yang harmoni.
“Bagi kita di Sarawak, hubungan baik antara kaum merupakan sebahagian daripada budaya yang telah lama wujud di mana semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama telah lama bersatu padu,” tegas beliau.
Ditanya mengenai sama ada Saberkas masih relevan, Abang Johari berkata pertubuhan belia itu masih relevan serta masih aktif menjalankan pelbagai aktiviti sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat sebilangan kecil unit Saberkas yang tidak menjalankan sebarang aktiviti terutama unit di rumah panjang.
“Ini mungkin kerana pengerusi unit tersebut berada di tempat lain. Namun secara keseluruhan, semua cawangan dan unit Saberkas ada menjalankan aktiviti,” ujarnya sambil menambah penganjuran sesuatu aktiviti amat bergantung kepada pengerusinya.
Dalam pada itu, katanya, keahlian dari kalangan masyarakat Cina dalam Saberkas juga menunjukkan peningkatan teruutama di Kuching, Sibu dan Miri.
“Sehingga kini, kira-kira 15 peratus ahli Saberkas adalah Cina,” tambah Abang Johari sambil memberitahu Saberkas kini mempunyai lebih kurang 120,000 ahli berdaftar dan 27 cawangan daerah.

1 comment:

tajau singa raja said...

di sarawak akta perhubungan kaum tidak perlu kerana dalam hati dan sanubari sudah disemat jiwa murni memahami erti perpaduan pelbagai bangsa dan sukukaum dan ethnik di sarawak berasaskan konsep perpaduan dalam BN