Monday, February 16, 2009

KONSEP MASMA CEGAH BANJIR DI SARAWAK, JABU

Konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang diperkenalkan di Bahagian Betong diharapkan dapat diperkenalkan ke seluruh negeri Sarawak sebagai satu sistem pencegah banjir.“Dengan adanya konsep MSMA ia akan mampu mencegah banjir kilat daripada berlaku di Betong khasnya,” kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Sistem Saliran Pusat Bandar Baru Betong di Tapak Projek dekat sini pagi tadi.Beliau berkata, dengan adanya projek tersebut di Betong ianya akan melengkapkan lagi pembangunan Bandar Baru Betong.Menurut Jabu, tujuan utama projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan sistem saliran utama kepada Pusat Bandar Baru Betong, Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Betong dan seluruh kawasan tadahan Sungai Engkabang.Jabu, yang juga Menteri Pembangunan Infratstruktur dan Komuniikasi dan Menteri Pembangunan Luar Bandar menambah, “kita melihat projek ini sebagai satu sejarah menandakan Betong menuju ke arah pembangunan pesat.”Projek ini dijangka siap menjelang penghujung bulan Ogos 2010.Disamping itu, Betong juga bakal menyaksikan pembinaan sebuah bandar baru yang terdiri daripada pusat komersil yang baru dan dikelilingi oleh kawasan persekitaran yang indah yang mampu menarik penduduk sekitar mengunjunginya.Kata Jabu, projek tersebut adalah antara projek pembangunan yang baru dari segi pembangunan bandar moden untuk memajukan Bahagian Betong.“Kita tidak mahu ketinggalan dari segi pendekatan dan cara bagi membangunkan bandar baru yang serba moden di Betong di mana pelbagai aktiviti akan diperkenalkan untuk memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya.“Kita juga mahu supaya generasi akan datang akan mewarisi perancangan yang baik yang kita buat pada masa sekarang,” kata beliau.Selain itu menurut Jabu, perbincangannya dengan Ketua Pengarah RISDA akan menyaksikan RISDA bakal memulakan projek bagi menyemai bibit-bibit getah yang bermutu tinggi.Kita akan menyediakan tapak untuk dipinjamkan kepada RISDA bagi menjalankan bidang ekonomi berasakan penanaman getah yang bermutu tinggi.Tambah beliau lagi perancangan padu untuk memajukan Betong adalah komitmen bersama pemimpin di sekitar Betong selain sokongan padu dari rakyat pelbagai kaum di Betong.Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran ini bakal menyaksikan Betong menjadi perintis bagi program ini di SarawakJelas beliau, projek yang bernilai RM5.2 juta ini diharap mampu menghindari Betong dari menghadapi masalah yang sama yang dihadapi oleh bandar-bandar besar di seluruh negara seperti banjir kilat.“Komponen projek ini terdiri dari tiga buah kolam, 23m RC drain, 600m retaining wall, 2 nos of culvert crossings, 1 no. RC weir, 1 no. of GPT (twin) and associated inlet works selain dua pavilion dan satu amphiteater,” jelasnya.Tambah Uggah lagi, Betong yang dinaiktaraf menjadi Bahagian pada 26 Mac 2002, menyaksikan pertambahan dari segi penduduk, perumahan dan pelbagai industri yang muncul di Betong.Menurut beliau, menyedari pembangunan yang pesat dan rancak, Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengambil kira akan kesan pembangunan terhadap masalah banjir dan dengan itu satu sistem saliran yang menyeluruh dan bersepadu perlu dilaksanakan.Dengan pengenalan program ini banjir akan dapat dikurangkan dan sungai akan dapat dijaga dan ia akan menjadikan sungai kita bersih, kata beliau.Turut berucap pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengairan Saliran, Dato’ Ir. Ahmad Husaini Sulaiman.Beliau berkata bahawa Projek Pembangunan Sistem Saliran Pusat Bandar Baru Betong terdiri dari tiga aspek iaitu untuk mengawal kuantiti air larian hujan, mengawal kualiti air larian hujan dari Sungai Engkabang sebelum mengalir keluar ke Sungai Entanak selain mempromosikan cara hidup sihat dan menambah nilai pada Pusat Pentadbiran Betong yang baru dan kawasan sekitarnya.Turut hadir ialah Menteri Muda Pertanian, Perladangan dan Koperasi, Datuk Peter Nyarok, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Dato’ Ir. Ahmad Husaini Sulaiman, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Ir. Wong Siu Hieng dan Residen Betong, Romie Sigan Daniel.

No comments: