Tuesday, February 3, 2009

Pendidikan Pemangkin Utama Pembangunan Modal Insan

BETONG, Isnin - Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu menyarankan agar kekurangan kemudahan yang sedia ada tidak menjadi faktor halangan kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan.
" Memang kemudahan yang lengkap masih belum cukup di Betong ini tetapi kerajaan telah mempunyai perancangan pembangunan dengan membeli tanah berdekatan dengan dewan ini bagi tujuan pembangunan," kata beliau.
Penekanan utama diberikan dalam bidang pendidikan yang menjadi pemangkin utama pembangunan modal insan, kata beliau di Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina Tahun 2009 anjuran Persatuan Chung Hua Betong.
Ini jelas terbukti apabila Betong telah mempunyai Maktab Rendah Sains MARA yang menampung 600 pelajar dan mula beroperasi tahun ini.
Jabu juga menyatakan hasrat kerajaan untuk membina sebuah politeknik di Bahagian Betong bagi menampung kekurangan Institut Pengajian Tinggi Awam di Sarawak.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan tarian singa dan persembahan kebudayaan masyarakat cina oleh pelajar-pelajar sekolah SJK (C) Chung Hua Betong.
"Saya dan Douglas ingin menyumbang untuk kemajuan semua masyarakat dan keseluruhan Bahagian Betong kerana masyarakat Melayu, Cina dan Iban sama-sama menyumbang kepada keseluruhan perkembangan pembangunan di Betong," tambah beliau.
Jabu juga meminta agar rakyat tidak lupa jasa dan bakti pengasas terdahulu yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri.
Turut berucap pada majlis tersebut, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Douglas Uggah Embas yang menyentuh isu dan masalah yang melanda penduduk seluruh dunia sekarang iaitu perubahan iklim yang luar biasa. Justeru itu, Douglas memberitahu bahawa satu Gerakan Alam Sekitar akan ditubuhkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar seluruh negara untuk menangi masalah tersebut.
Beliau memberitahu kementeriannya juga menyumbang RM30,000 kepada jawatankuasa tersebut. Pada Majlis itu juga, Douglas telah menyumbang sejumlah RM10,000 kepada sejumlah kepada Persatuan Chung Hua Betong, Persatuan Buddha Betong dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJK Chung Hua Betong pula masing-masing RM5,000.
Jabu juga turut memberi sumbangan kepada ketiga-tiga persatuan tersebut sejumlah RM15,000 kepada Persatuan Chung Hua Betong, RM10,000 bagi Persatuan Buddha Betong dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJK (C) Chung Hua Betong menerima RM5,000.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isteri beliau Senator Dato Sri Empiang Jabu, Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau, pegawai-pegawai kanan dan Ketua-ketua masyarakat di Bahagian Betong. Majlis tersebut dihadiri seramai kira-kira 600 orang.
Utusan Sarawak 3 Februari 2009.

No comments: