Angkatan Zaman Mangsang Sarawak (AZAM) telah menganjurkan Program Randau Agenda Sosial bertempat di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.
Program Randau Agenda Sosial yang melibatkan sejumlah 53 orang peserta agensi jabatan kerajaan, sekolah, persatuan ibubapa dan guru serta badan bukan kerajaan ini juga mendapat kerjasama daripada pertubuhan Konrad-Adenauer-Stiftung, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) dan Pejabat Residen Bahagian Betong.
Ketua Unit Pembangunan Komuniti AZAM, Edwin Tawie ketika ditemui berkata Program Randau Agenda Sosial ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas daripada agensi berkaitan serta masyarakat setempat mengenai isu dan punca berlakunya masalah sosial di kawasan Pusa, Beladin dan Meludam.
“Selain itu Program Randau Agenda Sosial ini menyumbang kepada tinjauan dan penyediaan pelan tindakan bagi menangani cabaran sosial di Bahagian Betong yang akan dirangka oleh pihak KPSU.
“Dengan adanya pelan tindakan itu nanti pihak kami berharap agar dapat membasmi kemasukan masalah sosial di kawasan ini termasuklah penyalahgunaan dadah, menghidu gam, meminum minuman keras di kalangan remaja bawah umur, pergaulan bebas,” menurut beliau.
Malahan menurut Edwin Program Randau Agenda Sosial terbabit juga boleh meningkatkan jalinan kerjasama, penyelarasan dan saluran komunikasi yang lebih mantap dan berkesan antara semua agensi serta pihak yang berkenaan.
Justeru beliau berharap agar AZAM sebagai sebuah badan bukan kerajaan di negeri ini dapat terus menyumbang ke arah usaha pembangunan negara melalui proses komunikasi dan interaksi yang lebih efisien dan efektif di masa akan datang.
Program Randau Agenda Sosial terbabit bermula pada jam 8.30 pagi menerusi sesi pembentangan Agenda Sosial Negeri Sarawak yang dikendalikan oleh Aishah Edris dari Majlis Pembangunan Sosial dan Urbanisasi.
Program itu diteruskan lagi dengan sesi pembentangan bertajuk Trend dan Senario Semasa Pembangunan Sosial di Betong dan sesi randau bertajuk Menangani Cabaran Pembangunan Sosial di Bahagian Betong: Satu Perkongsian Pengalaman.
Sesi diteruskan lagi dengan perbincangan kumpulan mengenai penyediaan rangka pelan tindakan sosial untuk bahagian Betong dan sesi perbentangan kumpulan yang dipengerusikan oleh Aishah Edris.
Sesi pengulungan Program Randau Agenda Sosial di Dewan Panglima Rentap Betong pada jam 5 petang hari ini telah dihadiri oleh Residen Bahagian Betong iaitu Romie Sigan Daniel dan timbalannya (sosial) Dr Anthony Valentine Laiseh.
SALAM BAHAGIA DAN SELAMAT MEMBACA
8 years ago
No comments:
Post a Comment