Presiden Pas itu berkata, beliau tidak berniat menghina masyarakat kaum Iban di Sarawak melalui ceramahnya semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini.
Abdul Hadi menegaskan, kenyataannya dalam ceramah tersebut telah disilap tafsir dan pemimpin BN khususnya di Sarawak sengaja membesar-besarkan isu tersebut.
''Saya tak berniat untuk menghina dengan mengatakan mereka (masyarakat Iban) bodoh. Saya simpati kerana pemimpin BN yang membodoh-bodohkan rakyat.
''Mereka bodohkan rakyat sehingga rakyat di sana (Sarawak) tidak boleh membuat keputusan berani untuk menyokong kita (pakatan pembangkang)," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada sesi Ceramah Khas Sempena Hari Pekerja anjuran parti itu di Kompleks Sukan Bertam, di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi Pas, Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Pas negeri, Salleh Man.
Abdul Hadi dalam ceramahnya semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan baru-baru ini menyifatkan rakyat Batang Air tidak tahu mengundi kerana mereka masih pakai cawat lagi.
Dalam ceramah itu, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata: ''Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Air sahaja, kita kalah sebab mereka ini tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina, tetapi tempat yang pakai molek, undi Pas."
Kenyataan Hadi itu dilaporkan menyinggung perasaan masyarakat Iban di negeri tersebut kerana dilihat 'merendah-rendahkan' mereka khususnya di Lubok Antu.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang baru-baru ini mendesak Abdul Hadi meminta maaf atas kenyataannya itu yang dibuat berdasarkan fakta yang tidak benar.
Sementara itu, Mohamad Sabu dalam ceramah tersebut mempelawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyertai pakatan pembangkang untuk bersama mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
''Saya fikir kalau Pak Lah (Abdullah) serius hendak mansuh ISA, kita jemput beliau keluar UMNO dan sertai Pakatan Rakyat," katanya.
sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment