Monday, October 19, 2009

1Malaysia...16 Sept, Hari Malaysia cuti umum


Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan, 16 September mulai tahun 2010 diisytihar sebagai cuti umum sempena dengan Hari Malaysia. Beliau mengumumkan perkara itu semasa menjawab soalan mengenai gagasan 1Malaysia pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari Isnin. “Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Jemaah Menteri baru-baru ini telah membuat keputusan untuk meraikan Hari Malaysia pada 16 September mulai 2010 sebagai cuti awam untuk seluruh Malaysia. “Dengan demikian, rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar,” katanya. Menjelaskan lanjut, Najib berkata, sambutan Hari Merdeka 31 Ogos setiap tahun akan lebih mengingatkan tentang perjuangan mencapai kemerdekaan daripada penjajahan yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi untuk mengingati detik bersejarah itu. “Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia,” tambah beliau. Menyimpulkan gagasan 1Malaysia sejak diperkenalkan, Najib berkata, sejak diperkenalkan sejurus beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, gagasan tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan. “1Malaysia telah menjadi satu gagasan yang menarik dan digemari oleh ramai, khasnya generasi muda. “Gagasan 1Malaysia telah mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita berdoa semoga niat suci lagi ikhlas kerajaan untuk memupuk perpaduan yang tulen akan benar-benar berjaya. Sesungguhnya perpaduan yang kita capai hingga ke saat ini telah membuahkan keamanan lebih lima dekad yang lalu. “Dan ingatlah bahawa harga keamanan ini adalah terlalu mahal dan tidak dapt dibeli dengan wang ringgit. Bagi sesiapa yang cuba memporak-perandakan perpaduan maka merekalah yang sebenarnya menghancurkan keamanan,” ujar beliau.

No comments: