Friday, October 23, 2009

Pemimpin BN komited selesaikan masalah pribumi


News

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Dr James Jemut masing memuji tindakan pihak Kerajaan Pusat berhubung penubuhan jawatankuasa khas kabinet bagi menyelesaikan isu yang berkaitan dengan penduduk Bumiputera di Sabah dan Sarawak sebelum ini.
Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, adalah satu penghormatan dan langkah yang tepat oleh pihak Kerajaan Pusat untuk melantik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bagi menganggotai jawatankuasa khas kabinet berkenaan.
Sambil menyifatkan Uggah sebagai individu yang berkelayakan untuk memikul tugas itu, beliau berpendapat bahawa Ahli Parlimen Betong berkenaan mampu menyelesaikan masalah secara efektif menerusi pengalaman yang ada dalam dirinya.
“Terdapat jurang pembangunan yang cukup besar di antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar terutama sekali dari segi aspek sosial, ekonomi dan pendidikan.
“Justeru sudah tibanya masanya bagi kerajaan untuk memberi perhatian mengenai isu pembangunan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya sekali bumiputera walaupun usaha itu lebih tertumpu terhadap kawasan bandar pada masa dahulu,” katanya menerusi laman web sarawakupdate.com hari ini.
Masing juga berkata bahawa Uggah dan Idris boleh merujuk pihak kementerian Kerajaan Negeri Sarawak untuk melihat langkah terbaik bagi membantu menyelesaikan isu terbabit.
“Setelah kita tahu apa yang mereka mahukan maka pihak kita akan dapat merangka mekanisme untuk membantu kumpulan sasaran tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah anak Embas akan cuba mendapatkan maklumbalas daripada semua wakil rakyat dalam negeri ini berhubung isu yang melanda penduduk bumiputera Sarawak sebelum ini.
Menurut beliau hasil maklumbalas daripada kesemua wakil rakyat ini adalah amat penting bagi membolehkan beliau mengutarakan isu dan langkah penyelesaiannya selepas ini pada mesyuarat jawatankuasa khas kabinet yang telah ditubuhkan oleh pihak Kerajaan Pusat sebelumnya.
“Aspek pendidikan, penyediaan kemudahan inftrastruktur dan peningkatan taraf hidup dijangkakan menjadi isu utama dalam pembangunan hidup penduduk bumiputera dalam negeri ini.
“Justeru menerusi maklumbalas itu kelak, saya akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengutarakan isu terbabit pada mesyuarat jawatankuasa khas kabinet selepas ini bagi tujuan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Selain itu penubuhan jawatankuasa khas kabinet oleh pihak Kerajaan Pusat sebelum ini kata Uggah dilihat sebagai usaha komited Barisan Nasional dalam merapatkan jurang pembangunan di antara penduduk dalam kawasan bandar serta luar bandar dalam negeri ini.
Usaha ini menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Betong dianggap sejajar dengan perlaksanaan konsep 1Malaysia menerusi slogannya Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
“Saya akan melaksanakan tugas saya dengan sebaik yang mungkin sebagai salah seorang ahli jawatankuasa khas kabinet terbabit demi menyelesaikan isu pembangunan penduduk bumiputera Sarawak,” katanya.
“Bagaimanapun pihak pejabat Residen dan Jabatan Kebajikan juga boleh membantu siapa di antara mereka yang memerlukan bantuan. Paling penting sekali ialah mengenai perlaksanaan mekanisme ini disamping sepantas mana pihak kita boleh membantu mereka,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman web malaysianmirror.com pada 17 Oktober lalu dikatakan bakal mempengerusikan jawatankuasa khas kabinet ini bagi memperkenalkan dasar dan memantau progres pembangunan terhadap penduduk bumiputera di Sabah serta Sarawak.

No comments: