Oleh Muller Asen
LUNDU: Bajet 2010 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin umpama ‘hadiah untuk rakyat’ bagi memastikan semua kelompok masyarakat mendapat faedah daripadanya meskipun negara masih berada dalam situasi ekonomi yang agak mencabar.Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati rakyat tempatan di sini berkata Bajet 2010 itu amat memberi kelegaan kepada mereka.
Andrew Bong, 43, berkata, penekanan yang diberi Perdana Menteri kepada rakyat adalah untuk melihat keselesaan rakyat melalui peruntukan yang disalurkan selaras dengan gagasan 1Malaysia.
“Bajet ini menunjukkan kepada rakyat bahawa apa yang dijanjikan kerajaan bukan suatu yang retorik, sebaliknya ia usaha berterusan untuk memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan meskipun keadaan ekonomi terbatas.
“Sebagai salah seorang kakitangan awam, saya amat bersyukur atas bayaran khas kewangan RM500 yang diberikan kepada kumpulan sokongan baru-baru ini dipanjangkan kepada penjawat awam gred 41 hingga 54 dan pesara,” katanya.
Andrew yang juga merupakan seorang pendidik, memberitahu dia menghargai usaha kerajaan dalam memperkenalkan pinjaman membeli komputer maksimum RM5,000 dibenarkan setiap tiga tahun berbanding lima tahun sekali sebelum ini.
“Melalui langkah ini, secara langsung ia akan melahirkan lebih ramai rakyat memiliki kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” ujarnya.
Menjelas lanjut mengenai bayaran khas sebanyak RM500 itu, Andrew menjelaskan, sepatutnya kalau boleh pemberian khas itu diseragamkan ketika pengumuman untuk penjawat awam kumpulan sokongan diumumkan baru-baru ini.
“Mungkin ada daripada penjawat awam (gred 41-54) menjangkakan kerajaan akan mengumumkan sekurangkurangnya bayaran khas minimum RM1,000.
“Bagaimanapun, kakitangan awam mesti berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bayaran khas ini,” jelasnya.
Bagi Jeffery Husaini, 40 pula, beliau turut senada dengan Andrew, mengatakan bajet 2010 ini sebagai hadiah untuk rakyat dengan mengambil kira semua masyarakat demi kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, ia merupakan bajet yang realistik dan bukan bersifat populis kerana ia mementingkan kedudukan dan keharmonian rakyat.
“Bajet kali ini jelas bersifat mesra rakyat dan menjamin kecemerlangan negara berasaskan struktur ekonomi yang lebih dinamik.
“Antara lain, ia menepati gagasan rakyat didahulukan, khususnya dalam aspek pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000,” katanya yang juga seorang penjawat awam.
Ditanya mengenai bayaran khas kewangan RM500 yang diberikan kepada kumpulan sokongan baru-baru ini dipanjangkan kepada penjawat awam gred 41 hingga 54 dan pesara, Jeffery menjelaskan ia merupakan satu perkara yang baik dalam usaha menghargai semua sumbangan kakitangan awam tanpa mengira kategori.
“Bayaran khas tersebut diharap menggalakkan penjawat awam untuk terus mempertingkatkan usaha dan produktiviti kerja masingmasing,” ujarnya.
Manakala bagi Angela Akim, 33, beliau menjelaskan belanjawan kali ini amat mesra rakyat.
Menurutnya, pengumuman bajet tersebut mencerminkan kesungguhan Perdana Menteri menterjemahkan konsep 1Malaysia.
“Bajet ini banyak memberi insentif dan manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Serentak dengan itu, ia menggambarkan komitmen tinggi kerajaan memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.
Sementara Marini Putit, 30, berkata bajet 2010 menjurus kepada usaha untuk membela dan meningkatkan taraf hidup rakyat pelbagai kaum.
“Ia (Bajet 2010) menunjukkan kerajaan cukup serius untuk memperjuangkan keperluan rakyat,” katanya.
sumber : Borneo Post
1 comment:
Salam bro, sungguh pun rakyat menerima segala perancangan kerajaan UMNO-BN, tetapi ada juga sebahagian yang masih menafikan dan tidak mahu bersyukur dan berterima kasih....
Post a Comment