Saturday, October 3, 2009

Ugah dipilih ketuai PBB Cawangan Engkilili

Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dinasihat agar mengenepikan sikap negatif dalam diri lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya mesyuarat perwakilan parti ini diperingkat cawangan sekarang.
Perkara ini dibangkitkan oleh Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Douglas Uggah anak Embas berhubung perlantikan beliau sebagai Pengerusi PBB bagi cawangan N.28 Engkilili.
“Jika ahli PBB di sini (Engkilili) merasakan PBB cawangan Betong terlalu ‘amuk’ (tamak) maka saya rela menarik diri dari dilantik untuk memegang jawatan ini bagi memberi laluan kepada perlantikan anak tempatan kawasan Engkilili bagi memegang jawatan terbabit.
“Bagaimanapun jika ahli PBB di sini menyuarakan sokongan penuh terhadap perlantikan saya sebagai Ketua PBB cawangan Engkilili… saya berasa amat bertuah ,” kata Ahli Parlimen Betong berkenaan.
Uggah yang sebelum ini pernah dilantik menjadi Ketua PBB cawangan Kakus berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB cawangan N.28 Engkilili di Dewan Serbaguna Engkilili lewat petang kelmarin.
Selain itu beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menasihatkan semua ahli PBB untuk sama-sama memperkukuhkan kedudukan PBB sebagai tulang belakang Kerajaan Negeri sekarang.
Peristiwa kekalahan parti politik paling berkuasa dalam kabinet kerajaan Jepun sebelum ini menurut Uggah harus dijadikan sebagai contoh bagaimana kekuatan sesebuah parti boleh runtuh sekiranya tidak wujud semangat kerjasama dan sefahaman dalam diri ahli.
“Pokok yang kuat boleh tumbang sekiranya asas pokok itu tidak kukuh. Atas sebab ini saya mahu semua ahli PBB bersatu hati dan bekerja keras untuk memperkuatkan parti dari masa ke semasa,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Richard Tawan anak Sedu.
Uggah dalam mesyuarat itu dilantik sebagai Ketua PBB cawangan N.28 Engkilili bagi penggal 2009 / 2012 manakala mantan pengerusinya Richard Tawan Sedu pula dilantik sebagai timbalannya.
Manakala itu Tuai Rumah Ngumbang anak Linang telah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB cawangan N.28 Engkilili bagi penggal 2009 / 2012 mengantikan Edwin Anceh dan Siti Nuraini Abdullah pula masih mengekalkan jawatanya sebagai Ketua Pergerakan Wanita PBB cawangan N.28 Engkilili pada mesyuarat itu.

1 comment:

YANG GAMBI said...

Tahniah Datuk Douglas Uggah anak Embas berhubung perlantikan beliau sebagai Pengerusi PBB bagi cawangan N.28 Engkilili.

Semoga dengan amanah yang diberi, masyarakat setempat berterusan mendapat pembelaan.....