Monday, January 25, 2010

Projek Tebatan Banjir di Debak dan Betong



Dato Sri Douglas Ugah (memegang mikrofon semasa dialog)


Masalah banjir yang sering melanda kawasan Debak, Betong akan dapat diatasi menjelang tahun hadapan apabila kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM2.6 juta bagi menjayakan perlaksanaan Projek Tebatan Banjir di situ sekarang.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah anak Embas berkata daripada jumlah terbabit, sejumlah RM2 juta diperuntuk untuk membina benteng sepanjang 2.3 kilometer dan lapan buah pintu air (flood gate) di kawasan Sungai Batang Ribas sekarang.
“Kerajaan juga turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM600,000 untuk membina benteng dengan siaz panjang sama (2.3 kilometer) di kawasan bawah Kampung Debak.
“Dengan adanya dua buah projek yang kini sedang dilaksanakan di Kampung Debak maka pihak kerajaan berharap agar masalah banjir yang sering melanda penduduk di sini (Debak) akan dapat diatasi apabila ia dijangka siap menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Selain itu kerajaan menurut Uggah juga telah meluluskan peruntukan bernilai RM200,000 bagi melaksanakan projek mendalamkan kawasan Sungai Bakong, Sungai Debak dan Sungai Ubar selepas ini.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin dalam menyelesaikan segala masalah yang bersangkut-paut dengan hal ehwal kebajikan penduduk selama ini,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan bersedia membayar pampasan tanah milik penduduk yang terlibat dalam projek itu selepas ini.
Dalam pada itu, Ugah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) disaran agar menjelaskan kepada rakyat tentang projek yang dilaksanakan oleh mereka dalam kawasan penduduk itu demi kelancaran perlaksanaan projek berkenaan selepas ini.
Beliau berkata penduduk perlu tahu secara terperinci tentang projek yang dilaksanakan oleh JPS dalam kawasan penempatan bagi mengelak daripada berlakunya sebarang pertikaian berhubung projek terbabit.
“JPS harus turun padang untuk menjelaskan kepada penduduk tentang perlaksanaan sesuatu projek itu agar mereka lebih faham tujuan serta fungsi projek itu terhadap hidup penduduk itu sendiri.
“Jika penduduk tidak dibawa berbincang dengan baik maka perlaksanaan projek itu boleh tergendala terutama sekali dari segi soal bayaran pampasan terhadap tanah atau harta benda yang terlibat dalam projek berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Sesi Dialog Antara Penduduk Kampung Debak dan Jabatan Pengairan dan Saliran Betong di Dewan Lakid, Debak, Betong hari ini.
Selain itu Uggah juga menekan aspek kerjasama di antara kerajaan dan penduduk ketika berlangsungnya sesebuah projek pembangunan di kawasan penempatan masing-masing selepas ini.
“Taraf hidup penduduk akan meningkat sekiranya projek itu berjaya dilaksanakan di kawasan masing-masing. Justeru saya menasihatkan semua penduduk untuk memberi kerjasama yang berterusan terhadap kerajaan sekiranya projek pembangunan dilaksana dalam kawasan mereka,” kata Uggah.
Hadir sama ialah Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja raya (JKR) Bahagian Betong, Richard Tajan, Pengurus Besar SACOFA, Haji Jemat Bujang, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari Kampung Debak, Betong.
sumber :sarawakupdate

1 comment:

YANG GAMBI said...

Salam bro, itulah kepeerhatinan pemimpin-pemimpin kerajaan BN untuk rakyatnya.....