Monday, February 8, 2010

Penyokong PKR Betong sokong BN di Betong

SOKONG BN... Radin (kiri) menyerahkan surat Aku Janji kepada Isik ketika berlangsungnya upacara ringkas di Rumah Rehat Betong kelmarin

Seorang bekas ketua kaum dari Rumah Anji, Mupoh Baroh, Spak, Betong telah mengumumkan hasratnya untuk menyokong pihak Barisan Nasional (BN) setelah lebih 20 tahun bersama pembangkang.
Radin anak Bena, bekas Tuai Rumah Mupoh Baroh mengumumkan beliau keluar dari Parti KeAdilan Rakyat (PKR) kawasan N.31 Layar dalam satu upacara ringkas yang berlangsung di Rumah Rehat Betong.
Sambil mengumumkan perkara ini di hadapan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, beliau berjanji akan menyokong kerajaan BN pada pilihan raya negeri ini nanti.
Untuk membuktikan hasrat beliau menyertai BN selepas ini, Radin telah bertindak menyerahkan surat Aku Janji kepada Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri iaitu Isik Utau pada majlis itu.
“Saya akan memberikan sepenuh sokongan terhadap Datuk Patinggi Jabu selaku ADUN di sini (Layar) dan juga kepada Datuk Douglas Uggah Embas selaku Ahli Parlimen Betong menjelang pilihan raya akan datang.
“Terdapat banyak perubahan yang telah saya saksikan di Betong dan saya akan menyokong program pembangunan kerajaan demi kemajuan bersama,” katanya.
Senator Dato Sri Empiang Jabu juga turut hadir untuk menyaksikan upacara pengumuman keluar Radin daripada PKR kawasan N.31 Layar.
sumber :utusansarawak

No comments: