Monday, September 27, 2010

Persatuan Chung Hua berjaya wujud semangat 1Malaysia Uggah



TERIMALAH...Uggah sedang menyampaikan angpow kepada seorang warga emas dari Persatuan Chung Hua Betong ketika berlangsungnya majlis itu sambil disaksikan oleh Pemanca Kueh.

BETONG, Ahad (26 Sept) – Persatuan Chung Hua khasnya di Betong telah berjaya mewujudkan semangat 1Malaysia dikalangan masyarakat berbilang kaum di sini menerusi penubuhan sekolah mereka sebelum ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglass Uggah anak Embas ia terbukti apabila pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) oleh pihak Persatuan Chung Hua turut menarik kemasukan murid kaum Melayu dan Iban ke dalam sekolah terbabit.
“Pendidikan di SJK Chung Hua sememangnya memudahkan usaha perlaksanaan konsep 1Malaysia apabila murid kaum Melayu, Cina dan Iban dapat menuntut ilmu di bawah satu bumbung yang sama.
“Saya yakin bahawa jika keadaan ini berterusan maka projek pembangunan di kawasan Betong akan dapat dilaksana dengan penuh lancar. Ia sekaligus memberi manfaat kepada semua kaum di Betong selepas ini,” katanya.
Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-75 Penubuhan Persatuan Chung Hua Betong di Dewan Sukan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong malam tadi.
Selain itu keadaan politik kaum Cina yang stabil di Betong katanya turut memainkan peranan dalam memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti undi yang tinggi pada setiap pilihan raya negeri atau parlimen yang lepas.
“Masyarakat kaum Cina di Betong sememangnya mahukan pembangunan. Sebab itulah mereka menyumbang kepada kemenangan cemerlang BN di sini pada pilihan raya negeri atau parlimen yang lepas.
“Justeru saya menyeru masyarakat kaum Cina terus berjuang dengan BN demi memastikan Bahagian Betong terus maju seiring dengan lain-lain Bahagian dalam negeri ini di masa akan datang, katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Timbalan Presiden Persatuan Chung Hua Bersekutu Sarawak, Lim Ah Ted, Pengerusi Persatuan Chung Hua Betong, Pemanca Kueh Tu Teck dan pengerusi majlis, Charlie Wong.
Jabu menerusi majlis berkenaan mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Chung Hua Betong. Uggah dan Lawson masing-masing turut mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 dan RM5,000 kepada persatuan terbabit menerusi majlis itu.
Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-75 Penubuhan Persatuan Chung Hua Betong turut diserikan dengan upacara memotong kek ulangtahun, tarian 1Malaysia, persembahan nyanyian dan banyak lagi.

No comments: