Friday, September 24, 2010

Tingkatkan tahap kebersihan kampung



oleh Hazemi Hj Entek
DEBAK – Rakyat seharusnya berfikiran matang dan rasional serta tidak membuta tuli berfikiran negatif menuduh kerajaan apabila sesuatu projek tidak menepati jadual, kata Menteri Sumber Asli Dan alam Sekitar Malaysia, Dato Sri Douglas Uggah Embas.
“Kelewatan mungkin disebabkan faktor pengurusan, demografi, perhubungan dan sebagainya,” jelas beliau.
Beliau menegaskan kerajaan tetap akan menunaikan janjinya, berdasarkan kepada gagasan Perdana Menteri ‘Rakyat Didahulu, Pencapaian Di Utamakan’.
“Harapan dan impian rakyat disesuatu kawasan haruslah diutamakan dan inilah tanggungjawab sebagai pemimpin kepada rakyat,” ujarnya.
Sepanjang lawatan dan kunjungan beliau di tiga buah kampung Melayu sekitar Debak – Kampung Melayu Dit, Kampung Babu, Bungey, Lalang dan Debak Laut – Uggah tidak dapat sembunyikan kekecewaan beliau terhadap tahap kebersihan.
“Jika kita sendiri tidak mengutamakan kebersihan, siapa lagi nak jaga dan apa akan terjadi? Oleh yang demikian, tanggungjawab semua pihak perlu bertanggungjawab,” katanya.
Ketika menjawab pertanyaan penduduk di Kampung Melayu Dit tentang permohonan Surau dan Masjid baru, Uggah berkata, beliau berharap penduduk mendapatkan kebenaran dan kelulusan dari Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak terlebih dahulu kerana ia di luar bidang kuasa dirinya.
Disamping itu, ketika bersama rakyat di Kampung Babu, Bungey dan Lalang, beliau akur dengan sedikit kesilapan perlaksanaan tebatan banjir yang telah dilaksanakan dan beliau telah mengarahkan pegawai DID Betong dibawah kementeriannya untuk melaksanakan pembetulan sepertimana yang di harapkan oleh rakyat disini.
Katanya, ini adalah perkembangan yang baik sambil menyifatkan pertemuan bersama rakyat ini dapat menyelami dan mendengar rintihan dan masalah rakyat di diperingkat akar umbi.
Ini membuktikan bahawa adanya kesepaduan erat antara pemimpin dan rakyat serta menunjukkan rakyat mempunyai ruang untuk menyuarakan pemikiran dan pandangan terus kepada wakil rakyat dan kerajaan untuk mengubah senario pembangunan, menjamin keselesaan dan kemakmuran.
Penduduk perlu berwaspada kerana ada kumpulan tertentu yang akan memperbesarkan perkara yang kecil sebagai modal utama untuk rakyat membenci kerajaan.
Uggah dalam pada itu, berharap agar rakyat disini meneruskan konsep perpaduan dan kerjasama ini dari masa ke semasa sambil menambah semua pihak termasuk jawatankuasa ranting, JKKK, masjid, Wanita dan pergerakan PEMUDA PBB supaya bersatu dalam menghadapi sebarang ancaman dan mengekang segala dakyah pihak -pihak tertentu yang cuba mendapat simpati untuk mengaburi mata dan pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan yang sedia ada.
Ini adalah tanggungjawab kita bersama, ujarnya. Katanya lagi, sokongan padu rakyat disini dalam pilihanraya parlimen yang lepas membuktikan rakyat masih mengharap kerajaan Barisan Nasional untuk terus memimpin.

No comments: