Monday, September 20, 2010

Permusuhan perkauman kekang pembangunan



oleh : Hazemi Hj Entek

BETONG – Rakyat diingat agar terus mengekalkan keharmonian kaum tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan keturunan, berpecah belah dan saling benci membenci membantutkan agenda murni kerajaan untuk meneruskan pembangunan sehingga kawasan menjadi mundur dan rakyat kerugian, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Alfred Jabu ak Numpang.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong yang telah diadakan bertempat di Dewan Rentap, Betong ( Sabtu ).

Katanya, amalan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi adalah satu amalan yag murni yang perlu dikekalkan bukan sahaja dalam sambutan Hari Raya, malah nilai-nilai ini boleh dilakukan dari masa ke semasa.

Jelasnya, aktiviti seperti ini dapat mencapai konsep 1 Malaysia yang memupuk kearah perpaduan kaum. Jabu, dalam pada itu juga berkata, gagasan 1 Malaysia haruslah difahami oleh semua lapisan peringkat umur dan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal yang cemerlang dan rakyat bersatu padu akan tercapai jika rakyatnya sentiasa mengamalkan konsep perpaduan kaum.

Pada malam tersebut, Jabu merasa terharu dan memberi penghargaan kepada pihak penganjur kerana dapat mengelolakan majlis tersebut yang penuh gemilang dan berwarna-warni.

Kemeriahan majlis bertambah ceria dengan kehadiran masyarakat lain ( Iban dan Cina) membuktikan bahawa rakyat Betong sentiasa mengamalkan konsep perpaduan yang baik.

Katanya lagi, bukan sahaja dalam hari raya, malah majlis-majlis seperti Gawai Dayak dan Sambutan Tahun Baru semua rakyat boleh bersama dan kunjung mengunjung antara satu dengan yang lain.

Jelasnya, inilah harapan kerajaan dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) agar rakyat tetap bersatu padu dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain. Beliau menasihati rakyat agar terus bersatu dan elakkan perpecahan.

Disamping itu, Jabu menegaskan agar rakyat terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan elakkan dari dipengaruhi oleh anasir-anasir pihak tertentu yang sengaja menabur fitnah kepada rakyat untuk membenci kerajaan.

Jelasnya, mereka ini hanya pandai berjanji dan berkata itu dan ini tetapi tidak pandai melaksanakan segala janji yang dibuat sambil menambah langkah yang diambil oleh rakyat Betong yang mahukan politik pembangunan harus diteruskan dilaksanakan dibawah kepimpinan YAB Pehin Seri Hj Abdul Taib Mahmud dan timbalannya.

Beliau yakin dengan semangat ini, beliau berharap agar pilihanraya negeri yang akan datang Barisan Nasional akan terus menjadi pilihan rakyat dan mendapat kemenangan besar.

Terdahulu Jabu dan Uggah masing-masingnya menyumbang RM 5,000 ribu untuk penganjuran majlis tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Dato Romie Sigan Daniel Residen Bahagian Betong, Ahli Exco Pergerakan PEMUDA Negeri, En Tony Malang, ketua-ketua jabatan kerajaan, Penghulu dan ketua-ketua kaum.

No comments: