Friday, November 19, 2010


Utamakan pendidikan anak kita

Oleh Hazemi Hj Entek

BETONG – Ibu bapa disaran agar memberi pendidikan yang sebaik dan secukupnya kepada anak-anak kata Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Anak Numpang.
Beliau berucap menyempurnakan majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah kepada kanak-kanak TABIKA KEMAS dan TASKA Permata bagi zon Betong yang telah di adakan bertempat di Dewan Layar, Pejabat Daerah Bahagian Betong.
“Tidak ada dikalangan ibu bapa yang inginkan masa depan anaknya malap”, ujarnya.
Justeru itu, Jabu menyarankan kepada ibu bapa agar terus memberi penekanan pendidikan kepada anak-anak mereka. ‘Kita mahu melihat agar masa depan anak-anak ini akan cerah dan inilah harapan atau waris dimasa hadapan.
Mereka adalah permata yang amat bernilai dan berguna kepada kita suatu hari nanti, ujarnya. Bimbingan dan motivasi perlu diterap dan disemai kepada anak-anak tanpa terlalu mengharap seratus peratus kepada guru untuk memberi pendidikan.
Kata Jabu lagi, kerajaan pada dasarnya akan terus memberi bantuan dan memperkasakan usaha pendidikan dengan pelbagai cadangan dan perancangan demi meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan.
Oleh itu katanya lagi, pelbagai usaha digembelingkan oleh kerajaan sambil menambah kelengakapan seperti komputer dan internet akan dinikmati oleh para pelajar. Inilah usaha kerajaan untuk membantu rakyat khas mereka yang berada di luar bandar.
Sambil itu, Jabu serta Robert Lawson Chuat, ADUN N32 Bukit Saban akan berusaha untuk mempercepatkan liputan internet atau broadband di kawasan Betong.
Ia akan meliputi kawasan Layar, Spak, Rimbas, Tanjung Assam, Tuie dan Serabang. Jika menara komunikasi ini siap nanti, rakyat terutamanya di kawasan persisiran bahagian Betong akan menikmati jalur lebar seperti kawasan lain dan terus dapat mengakses maklumat di seluruh dunia.
Dalam perkembangan lain, Jabu memuji langkah-langkah KEMAS dalam memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak sehingga kanak-kanak seusia 4 hingga 6 tahun begitu petah bercakap, bergaya di atas pentas sambil itu berharap agar usaha memberi pendidikan ini di teruskan dari masa kesemasa mengikut kehendak masa kini.
Jelasnya, bukan suatu perkara mudah untuk membentuk kanak-kanak ini dalam usia tersebut tanpa pengorbanan dan semangat juang yang tinggi.
Terdahulu, Jabu mengumumkan sumbangan kepada 15 buah TABIKA dan TASKA Permata bagi zon Betong yang masing-masingnya bernilai RM 2,000 sebuah kelas.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penolong Pengarah KEMAS Sarawak En Syuaib B Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas, ADUN Bukit Saban En Robert Lawson Chuat, Residen Betong Datu Romie Sigan Daniel, Setiausaha Politik Ketua Menteri En Isik Utau, ketua-ketua jabatan kerajaan, ketua masyarakat dan ketua ranting PBB.

No comments: