Friday, November 19, 2010



TAHNIAH...Jabu menyampaikan sijil Anugerah Pelajar Cemerlang kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Romie, Lawson, Uggah, Lambat dan Rayong pada majlis itu.

Tiada rakyat ketinggalan dalam ETP - JABU

BETONG, Isnin (15 Nov) – Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan membolehkan tiada rakyat ketinggalan dari segi pembangunan dalam tempoh 10 tahun akan datang demikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.
Katanya ETP memberi garis panduan kepada semua pihak untuk merangka dan melaksana pelbagai pelan dalam membangunkan kebajikan hidup rakyat di sesebuah negeri khasnya di Betong.
“ETP menghimpunkan segala idea para pegawai profesional dan berkelayakan tinggi dari seluruh negara ini bagi mewujudkan satu garis panduan untuk memacu pembangunan sesebuah kawasan.
“Untuk itu Pejabat Residen Betong harus menggunakan ETP bagi merangka pelan pembangunan ekonomi yang boleh dilaksanakan di sini demi kemajuan hidup rakyat Betong dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Jabu yang juga Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2010 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Kedit, Betong hari ini.
Selain itu beliau menasihatkan ibubapa pelajar di Betong untuk tidak mensia-siakan segala kemudahan pendidikan yang telah kerajaan peruntukan di sekolah-sekolah dalam kawasan ini.
“Lagipun kerajaan amat memerlukan sumber tenaga profesional dalam tempoh 10 tahun ini bagi menjayakan segala aktiviti pembangunan ekonomi termasuk Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya.
Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Pengetua SMK Datuk Patinggi Kedit Betong, Dr Lambat Lindong.
Jabu menerusi majlis itu menyampaikan cek bernilai RM10,000 untuk SMK Datuk Patinggi Kedit disamping mengumumkan peruntukan bernilai RM30,000 pembinaan laluan pejalan kaki, RM50,000 untuk menurap kawasan bahu jalan dan RM20,000 untuk pembinaan tandas awam di luar sekolah berkenaan.
Sumber :sriamannews

No comments: