KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan
meneruskan usaha mengawal kegiatan pembakaran terbuka sebagai satu cara untuk
mengatasi masalah jerebu semasa musim panas dan kering yang dijangka berlaku
pada April hingga September ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk
Seri Douglas Uggah Embas.
Beliau
berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat persediaan Jawatankuasa
Jerebu Kebangsaan Khamis lepas dan Jabatan Alam Sekitar diberi tanggungjawab
bagi memastikan kegiatan pembakaran terbuka dikawal.
"Strateginya
ialah dengan menghadapi cuaca kering kita akan melakukan lebih banyak
penguatkuasaan di jalan raya bagi mengurangkan pencemaran, mengawalselia,
kuatkuasa bagi memastikan tiada pembakaran terbuka," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan seminar serantau mengenai kaedah dan alat yang lebih baik
untuk mengintegrasikan pemuliharaan kepelbagaian biologi ke dalam perancangan
hutan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sehingga
19 Mac lepas, 320 kes pembakaran terbuka direkodkan di seluruh negara di mana 56
kes dikenakan kompaun dan 23 menerima notis mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar
1974.
Beliau
berkata bagi mengawal kegiatan pembakaran terbuka, kerajaan akan memberi
perhatian di kawasan tanah gambut di Selangor, Pahang, Miri (Sarawak) dan Johor,
kerana ia mudah terbakar apabila paras air di kawasan itu menurun.
Setakat
ini, kementerian telah dapat memastikan paras air mencukupi dan pada masa sama
membina beberapa telaga tiub bagi mengepam air sama ada untuk memadam kebakaran
atau meningkatkan paras air di tanah gambut.
Uggah
berkata jawatankuasa pemandu kementerian alam sekitar bagi negara anggota Asean
akan bertemu di Brunei, Mei ini, bagi membincangkan cara dan kaedah bagi
membendung punca jerebu yang merentas sempadan.
Kumpulan itu juga akan
membincangkan usaha bagi menyelaras dan bekerjasama dalam pelbagai program
selain bertukar-tukar pengalaman antara negara-negara anggota.
Pada
majlis hari ini, Uggah juga melancarkan 'Perak Tool', satu alat
baru kepelbagaian biologi, yang bertujuan bagi membantu pengurus hutan dan
penggubal dasar bagi memastikan perancangan yang lebih baik, penebangan lestari
dan kesan penilaian kepelbagaian biologi dalam menghasilkan hutan.
Ia
diberi nama Perak kerana ia dibangunkan selepas penyelidikan selama enam tahun
di hutan simpan Temenggor oleh penyelidik tempatan dan Amerika di bawah projek
pemuliharaan kepelbagaian biologi bernilai RM7 juta.
Seminar
dua hari itu disertai 120 peserta termasuk Vietnam, Indonesia dan Filipina.
No comments:
Post a Comment