teks dan gambar oleh Affendi Mohd Yusof :
Penduduk di luar bandar terutama di Betong tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan malah ada sahaja perancangan dibuat bagi memastikan mereka terus berada dalam arus pembangunan nasional. Sehubungan dengan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata satu pelan komprehensif akan dirangka oleh Pejabat Residen Bahagian Betong untuk mengenalpasti potensi-potensi yang diketengahkan dari bahagian itu. “Objektifnya hanya satu iaitu untuk menaiktaraf status ekonomi dan kehidupan penduduk luar bandar menerusi program pembangunan yang terancang baik dari segi perniagaan dan pertanian”, ujar beliau. Sehubungan itu beliau meminta penduduk Betong untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional yang mempunyai agenda dan misi yang jelas untuk membantu rakyat dan bukannya seperti pembangkang yang hanya tahu menabur janji kosong dan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan. Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Menara Telekomunikasi Time 3 SACOFA dan menyerahkan 35 komputer riba 1Malaysia anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Tanjung Assam dekat Betong hari ini. “Dengan adanya menara ini, penduduk luar banbar bolehlah berhubung dengan masyarakat dunia atau menggunakan kemudahan internet dan selular untuk mendapat informasi dan ilmu pengetahuan”, ujar beliau lagi sambil menambah internet jika disalahgunakan boleh membawa padah kepada diri sendiri dan masyarakat di sekeliling. Sementara itu, Pengarah SKMM Sarawak, Ahmad Nor Hisham Mohamad Yusop berkata kadar penebusan jalur lebar di Sarawak pada masa ini adalah sekitar 47.9 peratus manakala liputan selular adalah 84 peratus. “Insya-Allah kita akan tingkatkan penembusan internet sehingga 55 peratus dan liputan selular hingga 90 peratus di Sarawak melalui pembinaan banyak lagi menara telekomunikasi di seluruh negeri tahun ini”, katanya. “Kita juga akan melaksanakan 459 projek Kampung Wi-Fi di seluruh Sarawak tahun ini termasuk 21 projek di Betong selain mengedarkan 4,700 unit komputer riba 1Malaysia di bahagian Betong”, katanya lagi sambil menambah pihaknya sedang menunggu senarai nama penerima yang layak untuk komputer riba di Bahagian Betong. Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA, Dato Ir Abang Jemat Abang Bujang berkata kerajaan akan membina 103 menara telekomunikasi lagi di seluruh Sarawak tahun ini di mana 80 menara akan dibina oleh SACOFA manakala selebihnya oleh syarikat penyedia telekomunikasi lagi. “Menara-menara ini akan menyediakan khidmat telekomunikasi untuk selular dan internet dan sebahagiannya akan disambungkan dengan fiber optik untuk capaian internet berkuasa tinggi”, katanya.
No comments:
Post a Comment