Monday, September 28, 2009

Hari terakhir Ops Sikap 20: Korban meningkat 261 kes

Isnin September 28, 2009

KUALA LUMPUR: Korban jalan raya yang dicatatkan dalam Ops Sikap ke-20 yang berakhir semalam berjumlah 261 orang sejak ia dilancarkan 13 Sept lepas.
Jumlah kematian yang dicatatkan itu bertambah berbanding Ops Sikap ke-17, yang diadakan sempena perayaan Aidilfitri tahun lepas, yang melaporkan 208 kematian.
Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata pada hari terakhir Ops Sikap ke-20 semalam, sebanyak 23 kematian direkodkan.
Pengguna motosikal masih mendahului jumlah senarai korban dengan 12 kematian, diikuti lapan pengguna kereta dan tiga melibatkan pejalan kaki, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Daripada 931 kemalangan yang berlaku semalam, jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 388 kes, diikuti jalan persekutuan (284), jalan negeri (152), lebuh raya (68) dan jalan-jalan lain (39 kes).
Dalam operasi semalam, sebanyak 9,826 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Ops Sikap ke-20 diadakan bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri. Ia membabitkan kira-kira 2,000 penguatkuasa termasuk polis, bomba dan ambulans. BERNAMA

Friday, September 25, 2009

Pas Selangor kaji kedudukan dalam pakatan pembangkang

Pas Selangor sedia mengkaji secara terperinci cadangan mana-mana wakil rakyat yang mahu parti itu melihat semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang di negeri ini.
Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Khairuddin Othman berkata, pihaknya akan mengadakan satu menyuarat tergempar dalam masa terdekat ini untuk membincangkan perkara tersebut.
Beliau berkata, pihaknya juga amat kesal, kecewa dan terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berikutan tegurannya mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).
Menurut beliau, lebih mengecewakan ialah kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang amat mengejutkan parti kerana beliau sebagai pemimpin Pas negeri harus menyokong pendirian parti.
“Jika mereka mahu Hassan letak jawatan sebagai Exco dan Pesuruhjaya di negeri ini bermakna mereka mahu Pas keluar dari negeri ini kerana Hassan adalah Pesuruhjaya kami.
“Mereka semua ini hanya tahu mengeluarkan kenyataan membuta tuli tanpa menyelidik dahulu apa yang sebenarnya Hassan maksudkan. Setahu kami Hassan bermaksud baik bukan mempertikaikan kewujudan dan kuasa Selcat.
“Kami juga tidak faham atas kapasiti apa Khalid mengeluarkan kenyataan dan akan menyelidiknya sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.
Mohd. Khairuddin berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa wakil rakyat yang mahu Hassan keluar daripada pakatan pembangkang negeri jika tidak lagi mampu bekerjasama dengan wakil rakyat DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Desakan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini itu dibuat beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk Khalid, Mohd. Azmi dan Santiago.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin dalam kenyataannya yang dikeluarkan pagi ini menegaskan, Pas Selangor tetap dengan pendiriannya mendesak proses pendengaran ke atas pegawai tinggi kerajaan yang dijalankan Selcat dilakukan secara tertutup bagi menjaga integriti pegawai yang terlibat dan dapat mengelak daripada diaibkan.
Ini kerana kata beliau, Selcat dan kerajaan negeri seharusnya mengambil pengajaran daripada ‘anugerah penyapu’ ciptaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
sumber: malaysiakini

Friday, September 18, 2009

Jangan hanya menunggu musim pilihanraya, ugah


Rakyat tidak sewajarnya menunggu musim pilihanraya untuk mengemukakan masalah pembangunan kepada kerajaan kata Naib Presiden Kanan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Douglas Uggah anak Embas.
Ini kerana menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu rakyat boleh memaklumkan kepada pemimpin di setiap kawasan masing-masing pada bila-bila masa tanpa menunggu tibanya waktu pilihan raya di negeri ini.
“Masalah pembangunan rakyat di sesebuah kawasan boleh diselesaikan segera sekiranya mereka bertindak awal mengutarakan masalah itu kepada kerajaan menerusi wakil rakyatnya di kawasan masing-masing.
“Mereka tidak harus menyimpan masalah ini untuk dikemukakan kepada kerajaan apabila tiba pilihan raya memandangkan pihak pembangkang boleh menjadikan masalah itu sebagai isu untuk menentang kerajaan pada waktu pilihan raya kelak,” menurut Ahli Parlimen Betong berkenaan.
Uggah berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB cawangan N.32 Bukit Saban bertempat di Dewan Serbaguna Spaoh, Betong hari ini.
Selain itu katanya sekiranya projek pembangunan kerajaan dilaksanakan awal di kawasan rakyat maka pihak pembangkang akan menghadapi kesukaran untuk mencari ‘modal’ bagi menentang kerajaan ketika menjelang pilihan raya di negeri ini.
“Ahli PBB di kawasan ini (N.32 Bukit Saban) misalannya boleh bertindak melaporkan kepada pihak atasan sekiranya terdapat pihak pemaju yang gagal melaksanakan projek pembangunan dengan baik.
“Justeru saya berharap agar rakyat tidak melengah-lengahkan masa untuk melaporkan masalah pembangunan di kawasan masing-masing kepada kerajaan selepas ini demi kebaikan hidup mereka pada masa akan datang,” kata Uggah.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban merangkap Pengerusi PBB cawangan N.23 Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Saban, Tony Malang Chabu dan Setiausaha Cawangan PBB Bukit Saban, Dr Richard Rapu.
Terdahulu, Pengerusi PBB cawangan N.32 Bukit Saban, Robert Lawson Chuat berkata formula kekuatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selama ini sebenarnya terletak pada peranan yang ditunjukkan oleh kedua-dua sayap dalam parti terbabit iaitu PESAKA dan Bumiputera.
Beliau berkata kefahaman serta toleransi yang wujud dalam kedua-dua sayap parti terbabit selama ini nyata berjaya membentuk hubungan perpaduan yang kukuh dikalangan ahli partinya sehingga sekarang.
“Perpaduan dalam PBB terbukti apabila parti PEKASA yang mewakili orang Dayak dan parti Bumiputera yang mewakili orang Melayu berjaya bergabung untuk membentuk parti tulang belakang Kerajaan Negeri terbabit tanpa sebarang masalah hingga sekarang.
“Faktor ini telah menjurus kepada kekuatan utuh PBB sehingga rakyat yakin dengan peranan kita untuk memperjuangkan kebajikan hidup mereka sehingga ke masa sekarang,” menurut beliau ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan PBB cawangan N.32 Bukit Saban bertempat di Dewan Serbaguna Spaoh, Betong hari ini.
Sementera itu Lawson yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menasihatkan semua ahli PBB cawangan N.32 untuk mengembangkan perlaksanaan konsep 1Malaysia dikalangan penduduk dalam kawasan masing-masing.
Katanya penyebaran konsep 1Malaysia dikalangan penduduk adalah amat penting untuk menyakinkan mereka bahawa kerajaan tidak akan sesekali mengenepikan hak dan kebajikan hidup rakyat dalam negara ini.
“Kita mahu konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini diterima dikalangan rakyat berbilang kaum terutama sekali dalam kawasan DUN Bukit Sabam
“Menerusi konsep ini kita mahu rakyat agar sentiasa menyokong usaha pembangunan oleh kerajaan dan tidak mahu mereka bimbang bahawa hak serta kebajikan mereka diketepi proses pembangunan negara ini,” katanya.
Majlis yang dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Douglas Uggah Embas itu turut dihadiri oleh Senator Dato Sri Empiang Jabu, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Saban, Tony Malang Chabu.
PBB cawangan N.32 Bukit Saban sehingga kini mempunyai 17 ranting parti. Tiga daripada jumlah keseluruhan tersebut adalah merupakan ranting ‘protem’ yang baru ditubuhkan baru-baru ini.

Wednesday, September 16, 2009

16 September: Ulangtahun satu pembohongan....

Oleh: ROSLAN BIAN

Bagi rakyat negara ini yang mengingati sejarah, 16 September adalah tarikh penubuhan Malaysia.
Pada tarikh itu dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan, kemudian bersama Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia.
Penubuhan Malaysia menerima tentangan hebat daripada Indonesia di bawah Presiden Sukarno yang melancarkan konfrantasi dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’.
Perjanjian penubuhan Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 tetapi disiytihar secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
Namun, bagi rakyat negara ini yang mengingati sejarah politik tanahair, 16 September khusunya pada tahun 2008 akan diingati sebagai tarikh bagaimana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan kerajaan baru pimpinannya di Putrajaya.
Semuanya bermula dengan perletakan jawatan isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai ahli parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi tersebut.
Ketika kempen pilihanraya kecil itu, poster-poster membayangkan perjalanan Anwar ke Putrajaya antara menarik perhatian ramai bahkan ianya juga antara faktor membantu kemenangan Anwar pada 26 Ogos 2008.
Malah, Anwar menyifatkan kemenangan beliau adalah kemenangan rakyat yang mahukan perubahan di negara ini.
Penasihat PKR itu berkata, ia isyarat jelas rakyat bukan saja di Permatang Pauh malah seluruh negara mahu kerajaan membuat perubahan dengan mengutamakan kepentingan rakyat terutama dalam bidang ekonomi.
Beliau juga memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berjaya memastikan proses pilihan raya berjalan lancar padahal kebelakangan ini SPR sentiasa jadi bahan kritikan dan bertugas di bawah tekanan pembangkang yang menuduh suruhanjaya itu menyebelahi kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dengan nyanyian untuk menawan Putrajaya yang didendangkan ketika kempen pilihanraya kecil itu, irama itu diteruskan dengan cerita kononnya 30 ahli parlimen BN termasuk dari Sabah dan Sarawak akan ‘lompat’ sertai pembangkang bagi menjamin mimpi Anwar jadi nyata.
Pasti masih ada yang ingat bagaimanan ahli parlimen BN yang membuat lawatan sambil belajar ke Taiwan sebelum tarikh 16 September diburu oleh beberapa pemimpin pembangkang.
Bagaimanapun, segala usaha memujuk dan ada juga dakwaan untuk membeli wakil rakyat BN tidak berjaya hinggalah tanggal 16 September 2008 berlalu dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih Perdana Menteri ketika itu.
Bagi menutup kekecewaannya, Anwar mendakwa wakil-wakil rakyat yang dikatakan sudah bersedia menyertai pembangkang diugut supaya tidak menyertai pembangkang.
Peliknya sebelum itu, apabila wartawan meminta Anwar memberikan angka dan menamakan siapa ahli parlimen BN yang sudah setuju ‘lompat parti’, Ketua Pembangkang itu hanya membisu.
Sejak itu, pelan 16 September Anwar untuk menawan Putrajaya melalui pintu belakang menjadi bahan lelucon banyak pihak malah kencaman dan tempelak media.
Selepas itu Anwar masih menabur janji dengan memberikan tarikh selepas Hari Raya Aidiladha menyebabkan sekali lagi rakyat yang menerima perjuangan bekas penghuni Penjara Sungai Buloh itu ternanti-nanti saat tersebut.
Namun, semua itu tidak juga menjadi kenyataan dan yang jelas rakyat negara ini bahkan seluruh dunia yang mengikuti perkembangan politik Malaysia yang sentiasa bergelora selepas pilihan raya umum ke 12 pada Mac 2008 tertipu lagi.
Malah, rakan-rakan beliau terutama dari PAS sendiri awal-awal lagi tidak yakin cita-cita Anwar itu kesampaian. Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali mungkin tersenyum sendirian sambil terbayang wajah selamba Anwar mengenangkan apa yang pernah dikatanya mengenai gempak 16 September itu tepat sekali.
Kini pada Rabu, 16 Spetember 2009, ramai rakyat negara ini yang menyokong mahupun menentang perjuangan politik Anwar yang ‘semuanya pembangkang betul’ akan memperingati tarikh itu sebagai genap setahun pembohongan Anwar Ibrahim.
Sifat terlalu yakin Anwar mengenai pelan 16 September serta laluan ke Putrajaya nyata memakan diri.
Bagaimanapun, bagi manusia yang juga dikenali Pak Sheikh ini, semua sandiwara ini bukan sesuatu yang pelik bagi beliau.
Cuma kini disebalik ulangtahun pertama pembohongan 16 Septembernya itu, ada rakyat negara ini masih tertanya-tanya kenapa beliau tidak berani melakukan sumpah laknat atau sumpah depan al-Quran dalam kes dakwaan beliau meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dan disebalik ulangtahun pertama pembohongannya itu juga, ada rakyat negara ini yang masih tertanya-tanya kenapa beliau melalui peguam-peguamnya yang tersohor cuba mengelak kes itu dibicarakan di mahkamah. Kata orang berani kerana benar... justice delayed is justice denied.
Apapun, selamat ulangtahun pembohongan 16 September. Barangakali Anwar yang dijadualkan berceramah di Kampung Seri Rusa, Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson malam ini tentu ada janji baru hendak ditawarkan kepada rakyat khususnya pengundi pilihanraya kecil Bagan Pinang.
sumber: agendaily

Monday, September 7, 2009

Pakatan gagal tadbir Selangor

BIARPUN Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah 18 bulan berlalu, masih tiada usaha kerajaan negeri untuk tingkatkan kedudukan sosioekonomi dan politik.Selangor sebuah negeri yang kaya semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional puluhan tahun
-A. Kohilan Pillay
Pengerusi Gerakan Negeri Selangor

BN memerintah berpuluh tahun tiada masalah besar berlaku di Selangor tapi kerajaan pakatan yang baru setahun jagung memerintah sudah berlaku macam-macam
-Datuk Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

Ini membuatkan rakyat tidak menghormati kepimpinan Abdul Khalid selaku Menteri Besar kerana mereka berasakan pentadbiran kerajaannya lemah dan tidak begitu berfungsi
-Profesor Dr. Ahmad Atory Hassan
Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia

Sumber utusan malaysia

Spaoh lebih selesa lepas terima RM1.5juta

News

Penduduk Kampung Spaoh, Betong bakal menikmati prasarana yang lebih selesa apabila kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan tersebut.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Ugah anak Embas berkata peruntukan adalah untuk projek menaik taraf jalan raya, pembentung dan pembinaan parit di kawasan kampung berkenaan.
“Selain itu peruntukan berjumlah RM1.5 juta daripada kerajaan BN ini juga akan digunakan untuk membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Spaoh.
“Peruntukan bernilai jutaan ringit ini merupakan ‘hadiah’ kepada semua penduduk Spaoh yang merupakan penyokong kuat parti Barisan Nasional (BN) selama ini walaupun pernah dihasut oleh pembangkang untuk berjuang bersama mereka sebelumnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Syifa’ Spaoh dan Komuniti Bestari Spaoh di Masjid Darul Syifa’, Spaoh, Betong semalam.
Sementara itu, Uggah juga menyeru kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan di kampung dalam daerah kecil Spaoh untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memajukan kawasan masing-masing selepas ini.
“Terdapat masih banyak kampung dan rumah panjang di kawasan luar bandar di negeri yang masih memerlukan projek pembangunan seperti jalan raya, elektrik, air dan sebagainya.
“Oleh yang demikian, pihak kerajaan negeri dan pusat amat memerlukan kerjasama yang erat daripada semua JKKK dan persatuan bagi menjayakan perlaksanaan kesemua projek ini,” menurut beliau.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong Romie, Sigan Daniel, Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Islam Spaoh, Rapiee Bulat dan para ketua kaum dari daerah itu.
Uggah menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM30,000 untuk Masjid Darul Syifa’ Sapoh manakala peruntukan sebanyak RM5,000 pula digunakan untuk membeli alat pembesar suara di masjid berkenaan.
Lawson pada majlis itu juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6,000 kepada Masjid Darul Syifura’ Spaoh dan RM5,000 untuk sembilan buah surau dalam daerah kecil Spaoh.

Friday, September 4, 2009

SATU LAGI PILIHAN RAYA KECIL....

Jumaat September 4, 2009

SEREMBAN: Nampaknya negara akan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil iaitu pilihan raya kecil yang ke-9 apabila ADUN Bagan Pinang, Azman Mohd Noor meninggal dunia sebentar tadi.
DUN Bagan Pinang terletak di dalam kawasan Parlimen P132 Telok Kemang.
Pada pilihan raya umum yang ke 12, Azman memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan Ramli Ismail dari Pas dengan majoriti 2,333 undi. Beliau memperolehi 6,430 undi manakala Ramli pula 4,097 undi.
Kawasan tersebut mempunyai komposisi 66% pengundi Melayu; 19.9% India; 10.5% Cina dan 3.5% lain-lain kaum.
Menurut laporan awal, kematian Azman adalah disebabkan serangan jantung. Beliau dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang di Hospital Pakar Seremban. Azman berusia 55 tahun.
Kerusi DUN Bagan Pinang secara tradisinya adalah kubu BN. Sebelum ini calon BN, Mohd Faizal Ramli memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4,411 undi.
Bagaimanapun dalam situasi politik negara sekarang, adalah jelas sekali, pilihan raya kecil yang bakal diadakan nanti pasti menyaksikan persaingan yang sengit.
Apatah lagi Parlimen Telok Kemang sekarang dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat. Terdapat lima DUN di dalam kawasan Parlimen Telok Kemang. Tiga dikuasai oleh pembangkang manakala BN dua kerusi.
Kerusi-kerusi yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat ialah DUN Chuah (PKR), DUN Lukut (Dap) dan DUN Port Dickson (PKR).
Manakala DUN yang dikuasai BN pula selain Bagan Pinang ialah DUN Linggi.

Thursday, September 3, 2009

Seorang lagi korban H1N1

Seorang wanita dari Betong, Sarawak mati akibat jangkitan Influenza A (H1N1) menjadikan jumlah korbannya meningkat kepada 73 orang.Wanita berkenaan yang berusia 25 tahun, meninggal dunia pada 1September lalu.Manakala 266 lagi kes penyakit seakan influenza A (ILI) sedang dirawat, termasuk 41 orang ditempat di Unit Rawatan Rapi (ICU).