Monday, February 14, 2011

Berbagai Kaedah Untuk Kaburi Minda


Oleh Hazemi Hj Entek

ULU LAYAR – Rakyat diingat jangan memperjudikan hak masa depan dengan memberi sokongan kepada pihak pembangkang kata Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Malaysia, Dato Sri Douglas Uggah Embas.
Berucap dalam satu majlis Muzakarah Dan Penjelasan Isu-Isu Semasa di Rumah Jabu Ak Masing, Ng Mutok hari ini Uggah berkata mereka pandai menghasut pemikiran rakyat untuk rakyat terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar untuk membenci kerajaan.
“Jangan mudah terpedaya dengan segala tohmahan serta kata janji pembangkang dan berbagai kaedah digunakan semata-mata untuk mengaburi minda rakyat,” katanya.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas ( JASA) Bahagian Betong itu dihadiri kira-kira 300 orang dari 23 buah rumah panjang.
Menurut Uggah, dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah untuk memberi pembangunan kepada rakyat.
“Rakyat perlu mempunyai pemikiran yang matang dan rasional dalam menentukan masa depan. Apa untungnya rakyat menyokong pembangkang yang hanya pandai menabur janji-janji manis hanya ketika menjelangnya pilihanraya,” tanya beliau
Inilah taktik mereka bila tiba pilihanraya barulah wajah atau suara ini nampak dan kedengaran. Bila lepas pilihanraya entah kemana, ujarnya.
Uggah yang juga Ahli Parlimen P204 Betong dalam pada itu berkata, beliau menafikan kenyataan pihak-pihak tertentu kononnya kerajaan merampas tanah rakyat, sebaliknya tanah-tanah milik rakyat dibangunkan dengan projek-projek ekonomi untuk seperti penanaman kelapa sawit, getah, lada dan sebagainya.
Malah katanya lagi, pada tahun ini kerajaan telah menambah peruntukan sebanyak 60 juta bagi tujuan penyukatan tanah.
Justeru itu, Uggah berharap pemimpin diperingkat akar umbi seperti Penghulu, Konselar,tuai-tuai rumah serta ketua-ketua ranting supaya memainkan peranan dengan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada anak-anak buah mereka supaya tidak terpengaruh dengan segala dakyah pihak pembangkang dalam usaha mereka meyebarkan fitnah untuk membenci kerajaan.
Pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi memainkan peranan penting kerana mereka amat rapat serta mengetahui apa yang berlaku ke atas kawasan atau rumah panjang masing-masing.
“Justeru jika timbul sebarang permasalahan harus dirujuk atau dimaklumkan kepada pihak-pihak tertentu seperti pihak jabatan Residen, pejabat Daerah atau terus kepada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah terus memberi penekanan kepada ibubapa supaya menitikberatkan kepentingan pendidikan. Ini katanya, pendidikan amatlah penting untuk masa depan mereka.
Jelasnya melalui perlaksanaan SCORE, sebanyak 1 juta peluang pekerjaan tersedia untuk diisi oleh rakyat negeri ini.
Terdahulu ADUN N32 Bukit Saban, En Robert Lawson Chuat serta Pegawai JASA Bahagian Betong En Tony Malang masing-masingnya menyampaikan ucapan.
Pengisian program tersebut ialah kaunter kesihatan, ceramah RISDA, Lembaga LADA Malaysia dan Jabatan Pertanian serta penyampaian MRP Projek bagi kawasan PBB Ranting Kubal Ili, Kubal Ulu dan Kubal Tengah.
Dalam majlis tersebut, Uggah mengumumkan peruntukan kepada 23 buah Rumah Panjang masing-masingnya berjumlah RM3,000 dan untuk membuat jalan simen dan pagar Rh Jabu Ng. Mutok, Ulu Layar, berjumlah RM 20,000 serta Gerempung Indu RM 2,000.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Politik Dr Richard Rapu, SAO Akoi Ejau, Wakil Pegawai Daerah Betong, Penguasa Tanah dan Survey Betong Pn Peggy, Setiausaha Sulit Uggah, Jame Diggat, Penyelia KEMAS DUN N31 Layar dan N32 Bukit Saban, ketua-ketua jabatan kerajaan, ketua-ketua masyarakat.