Monday, January 25, 2010

Projek Tebatan Banjir di Debak dan Betong



Dato Sri Douglas Ugah (memegang mikrofon semasa dialog)


Masalah banjir yang sering melanda kawasan Debak, Betong akan dapat diatasi menjelang tahun hadapan apabila kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM2.6 juta bagi menjayakan perlaksanaan Projek Tebatan Banjir di situ sekarang.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah anak Embas berkata daripada jumlah terbabit, sejumlah RM2 juta diperuntuk untuk membina benteng sepanjang 2.3 kilometer dan lapan buah pintu air (flood gate) di kawasan Sungai Batang Ribas sekarang.
“Kerajaan juga turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM600,000 untuk membina benteng dengan siaz panjang sama (2.3 kilometer) di kawasan bawah Kampung Debak.
“Dengan adanya dua buah projek yang kini sedang dilaksanakan di Kampung Debak maka pihak kerajaan berharap agar masalah banjir yang sering melanda penduduk di sini (Debak) akan dapat diatasi apabila ia dijangka siap menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Selain itu kerajaan menurut Uggah juga telah meluluskan peruntukan bernilai RM200,000 bagi melaksanakan projek mendalamkan kawasan Sungai Bakong, Sungai Debak dan Sungai Ubar selepas ini.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin dalam menyelesaikan segala masalah yang bersangkut-paut dengan hal ehwal kebajikan penduduk selama ini,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan bersedia membayar pampasan tanah milik penduduk yang terlibat dalam projek itu selepas ini.
Dalam pada itu, Ugah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) disaran agar menjelaskan kepada rakyat tentang projek yang dilaksanakan oleh mereka dalam kawasan penduduk itu demi kelancaran perlaksanaan projek berkenaan selepas ini.
Beliau berkata penduduk perlu tahu secara terperinci tentang projek yang dilaksanakan oleh JPS dalam kawasan penempatan bagi mengelak daripada berlakunya sebarang pertikaian berhubung projek terbabit.
“JPS harus turun padang untuk menjelaskan kepada penduduk tentang perlaksanaan sesuatu projek itu agar mereka lebih faham tujuan serta fungsi projek itu terhadap hidup penduduk itu sendiri.
“Jika penduduk tidak dibawa berbincang dengan baik maka perlaksanaan projek itu boleh tergendala terutama sekali dari segi soal bayaran pampasan terhadap tanah atau harta benda yang terlibat dalam projek berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Sesi Dialog Antara Penduduk Kampung Debak dan Jabatan Pengairan dan Saliran Betong di Dewan Lakid, Debak, Betong hari ini.
Selain itu Uggah juga menekan aspek kerjasama di antara kerajaan dan penduduk ketika berlangsungnya sesebuah projek pembangunan di kawasan penempatan masing-masing selepas ini.
“Taraf hidup penduduk akan meningkat sekiranya projek itu berjaya dilaksanakan di kawasan masing-masing. Justeru saya menasihatkan semua penduduk untuk memberi kerjasama yang berterusan terhadap kerajaan sekiranya projek pembangunan dilaksana dalam kawasan mereka,” kata Uggah.
Hadir sama ialah Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja raya (JKR) Bahagian Betong, Richard Tajan, Pengurus Besar SACOFA, Haji Jemat Bujang, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari Kampung Debak, Betong.
sumber :sarawakupdate

Wednesday, January 13, 2010

231 penduduk Betong terima pampasan RM3.3 juta



MANFAATKAN...Jabu sedang menyampaikan cek pampasan kepada para penerima sambil disaksikan oleh (dari kanan) Wahab, Uggah, Peggy, Nyarok, Lawson dan Rayong ketika berlangsungnya majlis itu.
BETONG, Isnin (11 Jan) – Sejumlah 231 orang penduduk menerima bayaran pampasan hasil perlaksanaan enam buah projek di kawasan Bahagian Betong yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM3.3 juta bagi tahun 2009.
Kesemua penduduk menerima cek pampasan terbabit menerusi Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah anjuran Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang bertempat di Kompleks Kerajaan Negeri Betong hari ini.
Enam buah projek terbabit adalah pembinaan Jalan Roban / Baloi / Melintang / Lempaong, cadangan pembinaan Jalan Betong / Jagir / Ulu ban, cadangan penambahan jalan menuju ke SALCRA Roban South Oil Palm Estate Village Site Saratok, tapak cadangan pusat Giatmara Saratok, cadangan penambahan Ibupejabat Polis Daerah Betong dan cadangan Reserve Ban Sedia Ada Skim Saliran Supa / Medang, Pusa.
Terdahulu Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar menjelaskan bahawa terdapat segelintir pihak yang masih menafikan bahawa kerajaan tidak membayar pampasan terhadap tanah rakyat yang diambil oleh mereka bagi tujuan pembangunan sebelum ini.
“Semenjak dari tahun 1974 dahulu kerajaan sudah pun membayar sejumlah RM44 juta wang pampasan kepada para pemilik tanah yang mana tanah mereka telah digunakan oleh kita bagi pelbagai projek pembangunan dalam negeri ini.
“Bagaimanapun masih ada pihak pihak yang menganggap bahawa kerajaan telah merampas tanah rakyat selama ini dan dakwaan mereka ternyata tidak berasas jika dilihat berdasarkan kepada jumlah angka bayaran wang pampasan ini,” menurutnya.
Selain itu pembayaran wang pampasan terhadap pemilik tanah kata Jabu membuktikan bahawa kerajaan sememangnya memegang teguh janji mereka terhadap rakyat (pemilik tanah) selama ini.
“Nampak segelintir pihak masih tidak faham bahawa tanah yang kita dan bayar (pampasan) itu adalah untuk tujuan pembangunan yang sememangnya dapat memberikan manfaat terhadap mereka pada suatu hari kelak.
“Justeru saya meminta semua rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah sesetengah pihak berhubung hal pengambilahan tanah oleh kerajaan memandangkan itu hanyalah merupakan niat politik mereka semata-mata,” katanya.
Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Permodenan Pertanian (Koperasi dan Peladang), Datuk Peter Nyarok Entrie, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Haji Abdul Wahab Aziz, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Penguasa JTS Betong, Peggy Ronin Edin.
sumber :sriamanews

Thursday, January 7, 2010

Dawos Azam Buktikan Yang Terbaik Sejajar Gagasan 1Malaysia



KUCHING: Anggota Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit berkata pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pelancongan menggantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib menjadi bukti kepada komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjayakan gagasan 1Malaysia.
Dawos, 62, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata pelantikan itu merupakan satu tanggungjawab baru dan beliau berazam untuk melakukan yang terbaik sebagai menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Najib dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Pelantikan saya juga satu penghormatan kepada masyarakat Bidayuh di Sarawak dan pastinya ia berbaloi kepada masyarakat Bidayuh. Ini bukan untuk mendapatkan populariti, tapi satu amanah untuk meneruskan agenda kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Meskipun masih terkejut dengan pengumuman yang dibuat lewat petang ini namun beliau tetap melahirkan rasa gembira dan berharap mendapat kerjasama yang lebih baik daripada semua pihak di peringkat pusat dan negeri.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri hari ini, Dawos dijangka mengangkat sumpah jawatan pada 13 Januari ini. Dawos yang pernah memegang jawatan sebagai Penguasa Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak, berkelulusan Doktor Falsafah Pengurusan Alam Sekitar dari WYE College London selain mempunyai Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda Perhutanan dari Louisiana State University Amerika Syarikat.
Beliau yang mempunyai hobi bermain golf dan bola sepak, berasal dari Kampung Stabut Padawan kali pertama menjadi Anggota Parliman Mambong pada pilihan raya umum ke10 (1999) sehinggalah ke hari ini.
Pada 14 Disember lepas, Sulaiman yang juga anak kepada Taib melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan atas faktor peribadi.
Sulaiman, 41, yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBB dilantik sebagai Timbalan Menteri pada 19 Mac 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri, dan dikekalkan apabila Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri April tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Anggota Majlis Tertinggi PBB Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Dawos sememangnya layak dilantik ke jawatan kerajaan memandangkan kedudukan beliau yang lebih kanan dan mempunyai rekod yang baik sebagai Anggota Parlimen.
"Saya sangat gembira. Beliau pilihan paling tepat. Jika orang lain selain Dr James, saya akan berdukacita. Beliau seorang tokoh yang mempunyai merit. Berpendidikan tinggi dan sangat berkelayakan. Kerajaan membuat pilihan tepat untuk meneroka kepakaran beliau.
"Masyarakat Bidayuh akan berasa sangat gembira. Setelah ketiadaan wakil daripada kaum Bidayuh dalam Kabinet selepas Dr Tiki Lafe, pelantikan Dawos akan diterima dengan baik memandangkan beliau sangat dihormati dalam kalangan masyarakatnya," kata beliau ketika dihubungi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim, yang turut melahirkan kegembiraannya berikutan pelantikan Dawos, berkata Anggota Parlimen tiga penggal itu layak dilantik ke jawatan berkenaan.
Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing berkata beliau terkejut namun gembira kerana wakil kaum Bidayuh akhirnya dilantik ke Kabinet persekutuan selepas agak sekian lama.
"Memandangkan mereka telah pun diberikan jawatan Timbalan Menteri, mereka (Bidayuh) mesti melaksanakan tugas dengan sebaikbaiknya," katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan Ikom yakin pelantikan Dawos yang berpengalaman akan meletakkan perspektif Sarawak pada peringkat nasional.
Mawan berkata pelantikan itu akan mengembangkan potensi Sarawak dalam industri pelancongan di peringkat antarabangsa.
Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), mengucapkan tahniah atas pelantikan Dawos.
Namun begitu, beliau agak kecewa kerana seorang Anggota Parlimen daripada SUPP yang berketurunan Bidayuh, Richard Riot tidak dilantik.
"Sudah tentulah saya ingin melihat anggota kami sendiri yang dilantik dan Riot layak dilantik.
"Bagaimanapun, Sulaiman daripada PBB dan sebab itulah menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk memberikannya semula kepada PBB. Lagipun, SUPP mempunyai enam Anggota Parlimen dan tiga daripada mereka menganggotai Kabinet iaitu Datuk Peter Chin, Datuk Yong Khoon Seng dan Datuk Robert Lau," katanya.
Kaum Bidayuh, iaitu suku kaum keempat terbesar di Sarawak, selepas Iban, Cina dan Melayu, diwakili di peringkat Parlimen oleh Dr Tiki (SPDP), Dawos dan Riot di Serian.
- BERNAMA

Marina Undau lanjut pelajaran di Swinburne



Gadis kacukan berketurunan Iban Cina, Marina Undau yang sebelum ini pernah mengemparkan negara berhubung kegagalan beliau untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi berhubung isu status Bumiputera kini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti dalam negeri ini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang terbabit mula mendaftarkan diri ke Universiti Swinburne di Simpang Tiga, Kuching kelmarin dan segala urusan kemasukan beliau telah diuruskan oleh pihak Yayasan Sarawak.
“Pihak Yayasan Sarawak juga turut memperuntukkan biasiswa bagi tujuan perbelanjaan Marina ketika menuntut di Universiti itu dalam jurusan Diploma Kejuteraan.
“Justeru saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang, Pengarah Yayasan Negeri Sarawak dan pihak media yang sudah membantu anak saya untuk menuntut di menara gading,” menurut ayahnya iaitu Unau Liap ketika ditemui.
Selain itu Unau juga memberitahu bahawa beliau telah menerima panggilan telefon daripada Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum pada hari Selasa lalu berhubung perkembangan terkini anaknya tentang permohonan masuk ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebelum ini.
“Saya telah pun beritahu beliau (Joseph) bahawa anak saya terpilih untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Swinburne, Simpang Tiga, Kuching dan segalanya diuruskan oleh Yayasan Negeri Sarawak,” kata beliau.
Unau juga turut menambah bahawa anaknya iaitu Marina pada 29 Disember lepas turut menerima tawaran untuk menuntut di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor namun menolaknya pada saat akhir atas sebab yang tidak dapat dielakan.
Terdahulu Marina gagal melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi kerana dikelaskan sebagai Bukan Bumiputera mengikut tarif yang diperuntukan menerusi Perkara Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi Perkara 161A(6)(b) bagi negeri Sarawak.
Marina, 19, yang telah memperoleh keputusan 9A 1B pada ujian SPM 2008 adalah merupakan hasil perkongsian hidup antara Unau iaitu penduduk berketurunan Iban dari Batu Lintang, Sri Aman dan isterinya iaitu Wong Pick Sing berketurunan kaum Cina.

SUMBER :SARAWAKUPDATE