Monday, October 19, 2009

400 keluarga Betong layak terima bantuan e-kasih, Ugah


Ugah dan Jabu di rumah terbuka Betong

Kajian program e-kasih menunjukkan bahawa terdapat sejumlah 400 keluarga di Bahagian Betong yang masih tergolong dalam kategori miskin Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah anak Embas.
Atas sebab ini kerajaan Barisan Nasional (BN) katanya akan bertindak secepat mungkin untuk membantu meringankan bebanan kesemua 400 keluarga miskin di Betong selepas ini.
“Antara langkah yang diambil ialah membina atau membaiki kediaman kesemua 400 keluarga miskin itu menerusi peruntukan kewangan berjumlah RM5 juta daripada kerajaan BN.
“Bagaimanapun saya percaya bahawa masih terdapat ramai lagi keluarga miskin di Bahagian Betong ini yang tersenarai dalam kajian e-kasih berkenaan berbanding 400 keluarga sebelumnya,” menurutnya.
Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Alfred Jabu anak Numpang bertempat di perkarangan Masjid Jamek Betong malam tadi.
Bagi membolehkan lebih ramai keluarga miskin di Betong berdaftar dalam program e-kasih, beliau meminta semua ketua kaum dan ketua ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk turun padang bagi mencari penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan dan pembelaan daripada kerajaan BN.
“Kalau boleh saya mahu ketua kaum dan ketua ranting PBB di sini hanya menyenaraikan penduduk yang hanya benar-benar memerlukan bantuan daripada kerajaan BN menerusi program e-kasih ini.
“Jangan pilih bulu ketika turun padang untuk tujuan itu kerana di antara mereka yang hanya bertindak menyenaraikan nama penduduk yang tidak sewajarnya mendapat bantuan atau saudara mara terdekat mereka sendiri,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Pegawai Daerah Betong, Fariday anak Belie, para ketua jabatan kerajaan dan ketua kaum dalam kawasan Betong.
Dalam majlis itu juga Uggah telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Masjid Jamek Betong bagi tujuan aktiviti sosial mereka selepas ini.
Sebanyak 17 buah keluarga sudah mendapat rumah baru menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin di Betong pada tahun ini.

Friday, October 16, 2009

Harga minyak Asia lonjak AS$78 setong


SINGAPURA: Harga minyak di pasaran Asia melonjak AS$78 setong pada pembukaan harga pasaran hari ini berikutan sentimen data terbaru permintaan minyak mentah yang dikeluarkan kerajaan Amerika Syarikat. Kontrak hadapan utama New York bagi minyak mentah 'light sweet' bagi pembekalan November melonjak 45 sen kepada AS$78.04 setong. Minyak mentah pasaran Brent North Sea bagi pembekalan Disember meningkat 41 sen kepada AS$76.64 setong.
Pasaran kedua-dua pasaran kontrak hadapan itu juga ditutup tinggi semalam dengan minyak mentah New York ditutup pada paras AS$77.58 setong, paras tertinggi sejak 14 Oktober, 2008 lalu. - AFP

Tuesday, October 6, 2009

Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bersama YB Tuan Robert Lawson Chuat Sempena Info Bestari Rimbas, Debak Pada 13 Ogos 2009


Dari kiri: Tuan Jalai, En Tony Malang & En Alex semasa menanti ketibaan YB


Dari kiri: En Alex (Peg Hal-Ehwal Pengguna Betong), En Tony Malang (Pegawai JASA Betong), Tuan Jalai & En Albert Dagang (Pegawai MDB)

Tuan Jalai telah bersekempatan mewakili JKR Bahagian betong menghadiri majlis tersebut yang telah diadakan di Rumah Tindin, Ulu Bayor, Rimbas pada 13 Ogos 2009 (Sabtu). Majlis tersebut yang telah dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Bhg Betong telah turut dihadiri oleh ramai wakil-wakil ketua jabatan serta pegawai-pegawai kerajaan lain. Tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah YB Tuan Robert Lawson Chuat, ADUN N.32 Bukit Saban. Pada majlis tersebut juga telah diadakan sesi dialog diantara YB dengan Tuai-tuai Rumah yang hadir dimana mereka telah mengambil kesempatan ini untuk meluahkan permasalahan serta permintaan rakyat setempat seperti masalah jalan raya, bekalan elektrik dan sebagainya. YB serta wakil ketua jabatan telah menjawab segala permasalahan yang timbul untuk tindakan selanjutnya. YB Tuan Robert Lawson Chuat juga telah bermurah hati dengan menyampaikan geran serta peruntukan kepada Komuniti Info Bestari Rimbas untuk mereka menjalankan aktiviti mereka seperti penghasilan kraftangan dan produk-produk tempatan.

Cadangan Pembinaan Jalan Ng Linsum - Mara - Melanjan - Jelang - Raba - Luing - Kerapa


Satu mesyuarat berkenaan dengan Cadangan Jalan Yang Hendak Dibina Di Bawah RMK10 telah diadakan di Tkt 19, Wisma Bapa M'sia, Petra Jaya, Kuching pada 23 September 2009. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Ak Numpang, Timbalan Ketua Menteri S'wak merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur & Perhubungan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar. Tujuan mesyuarat tersebut adalah untuk memuktamadkan senarai projek pembangunan infrastruktur bagi negeri S'wak untuk dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KKLW) di bawah RMK10.Mesyuarat tersebut telah turut dihadiri oleh YB Datuk Gramong Juna - Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar S'wak, Tn Hj Chaiti Bolhassan - S/u Tetap Kementerian Pbgn Luar Bandar S'wak, Ir. Safri Zainuddin - Timbalan Pengarah JKR S'wak, En Romie Sigan Daniel - Residen Bhg Betong, Ir Richard Tajan - Jurutera Bhg Betong serta beberapa pegawai kanan kerajaan lain dari pelbagai agensi & kementerian seperti SPU & DID.Untuk Bhg Betong, cadangan projek tersebut telah dimasukkan dengan cadangan pembinaan jalan raya menurut piawaian R3 JKR iaitu jalan premix. Kos dianggarkan ialah RM 123 Juta serta menghubungkan 6 buah rumah panjang di kawasan Spak, Betong dengan panjang jalan 20 KM.

Kehadiran ramai pembangkang tiada manfaat, Taib


News

Kerajaan negeri mampu melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial demi kepentingan penduduk di Sarawak tanpa menunggu kritikan daripada pihak luar kata Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Ini kerana Dasar Politik Pembangunan yang diperkenalkan oleh beliau dahulu telah menyebabkan berlakunya perubahan pesat dari ekonomi dan sosialogi penduduk di Sarawak dengan penuh lancar.
“Berbanding dengan Semenanjung Malaysia, orang di sana fikir bahawa kehadiran lebih ramai pihak pembangkang dalam kerajaan akan membawa lebih banyak perubahan namun soalnya sejauh mana kebaikan langkah itu?
“Nampaknya tidak banyak manfaat yang mampu diperolehi dengan kehadiran ramai pembangkang memandangkan sering berlakunya pertelingkahan dan percanggahan terutama sekali dalam kerajaan yang ditadbir oleh pembangkang setakat ini,” menurut beliau.
Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB bertempat di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini.
Beza perubahan yang dialami oleh penduduk di Semenanjung Malaysia berbanding dengan penduduk di sini kata beliau membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai ‘resepi’nya yang tersendiri untuk membangunkan hidup penduduk.
“Dasar Politik Pembangunan nyata mendapat penyertaan daripada penduduk di negeri kita kerana kerajaan telah merancangkan pelbagai pelan pembangunan demi membawa perubahan terhadap hidup mereka secara beransur-ansur.
“Inilah kelebihan politik Sarawak berbanding dengan politik di Semenanjung. Negeri kita terus kekal aman dengan adanya perubahan dari segi pembangunan taraf hidup penduduk untuk sepanjang masa,” menurut beliau.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden I, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Timbalan Presiden II, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Douglas Ugah Embas, Setiausaha Agong, Dr Stephen Rundi, para ahli Majlis Tertinggi PBB, ketua cawangan, para menteri dan menteri muda serta wakil rakyat di sini.
Pehin Sri Taib telah merasmikan mesyuarat perwakilan yang melibatkan 11 buah cawangan PBB antaranya ialah PBB Lingga, Beting Maro, Bukit Begunan, Simanggang, Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka dan Krian.
Terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berikrar akan menentang pihak pembangkang habis-habisan.
Ini kerana pihak pembangkang seperti Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demoktarik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menurut beliau dilihat sebagai penghalang utama tranformasi pembangunan di negeri ini.
“Ia terbukti pada 10 Oktober 1996 dahulu apabila pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Kanowit yang didalangi pihak DAP bangkit menentang usaha kita untuk membangunkan tanah NCR mereka bagi tujuan pembangunan.
“Pembangunan tanah NCR dilihat sebagai salah usaha untuk membangunan hidup penduduk di kawasan luar bandar namun kehadiran pihak pembangkang tersebut telah menyebabkan usaha kita terganggu,” menurut beliau.
Jabu yang Timbalan Presiden II PBB berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB bertempat di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini.
Selain itu beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut mendedahkan sikap ‘kurang baik’ pihak pembangkang terbabit apabila PKR datang ke Sarawak dan tidak menghormati adat resam penduduk di sini.
“Atas sebab ini PBB sebagai tulang belakang kerajaan akan menentang habis-habisan pihak pembangkang demi memperjuangkan nasib hidup penduduk di negeri ini,” menurut beliau.
Jabu pada majlis itu turut mengumumkan usul secara sebulat suara pihak PBB yang mahukan Pehin Sri Haji Abdul Taib kekal tanpa bertanding untuk jawatan presiden parti itu pada Mesyuarat Agong PBB pada masa akan datang.

Saturday, October 3, 2009

Ugah dipilih ketuai PBB Cawangan Engkilili

Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dinasihat agar mengenepikan sikap negatif dalam diri lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya mesyuarat perwakilan parti ini diperingkat cawangan sekarang.
Perkara ini dibangkitkan oleh Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Douglas Uggah anak Embas berhubung perlantikan beliau sebagai Pengerusi PBB bagi cawangan N.28 Engkilili.
“Jika ahli PBB di sini (Engkilili) merasakan PBB cawangan Betong terlalu ‘amuk’ (tamak) maka saya rela menarik diri dari dilantik untuk memegang jawatan ini bagi memberi laluan kepada perlantikan anak tempatan kawasan Engkilili bagi memegang jawatan terbabit.
“Bagaimanapun jika ahli PBB di sini menyuarakan sokongan penuh terhadap perlantikan saya sebagai Ketua PBB cawangan Engkilili… saya berasa amat bertuah ,” kata Ahli Parlimen Betong berkenaan.
Uggah yang sebelum ini pernah dilantik menjadi Ketua PBB cawangan Kakus berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB cawangan N.28 Engkilili di Dewan Serbaguna Engkilili lewat petang kelmarin.
Selain itu beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menasihatkan semua ahli PBB untuk sama-sama memperkukuhkan kedudukan PBB sebagai tulang belakang Kerajaan Negeri sekarang.
Peristiwa kekalahan parti politik paling berkuasa dalam kabinet kerajaan Jepun sebelum ini menurut Uggah harus dijadikan sebagai contoh bagaimana kekuatan sesebuah parti boleh runtuh sekiranya tidak wujud semangat kerjasama dan sefahaman dalam diri ahli.
“Pokok yang kuat boleh tumbang sekiranya asas pokok itu tidak kukuh. Atas sebab ini saya mahu semua ahli PBB bersatu hati dan bekerja keras untuk memperkuatkan parti dari masa ke semasa,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Richard Tawan anak Sedu.
Uggah dalam mesyuarat itu dilantik sebagai Ketua PBB cawangan N.28 Engkilili bagi penggal 2009 / 2012 manakala mantan pengerusinya Richard Tawan Sedu pula dilantik sebagai timbalannya.
Manakala itu Tuai Rumah Ngumbang anak Linang telah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB cawangan N.28 Engkilili bagi penggal 2009 / 2012 mengantikan Edwin Anceh dan Siti Nuraini Abdullah pula masih mengekalkan jawatanya sebagai Ketua Pergerakan Wanita PBB cawangan N.28 Engkilili pada mesyuarat itu.

BN lawan Pas di Bagan Pinang

PORT DICKSON 3 Okt. - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan calon Pas, Zulkifly Mohamad Omar.
Calon bebas, Shahruddin Abdul Hamid gagal mengemukakan borang sehingga tempoh pencalonan ditutup pada pukul 10 pagi.
Sebelum itu borang pencalonannya di tolak kerana penyokong bukan dari kalangan penduduk tempatan Bagan Pinang.
Selepas tempoh bantahan tamat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin mengumumkan hanya Mohd. Isa dan Zulkifly akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

sumber- Utusan