Monday, March 29, 2010

Betong sambut ulangtahun ke 8 jadi bahagian





1.TERIMA KASIH...Luta (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Romie (kiri) ketika berlangsungnya kempen itu kelmarin.
2.MERIAH...Antara penduduk yang turun padang untuk menjayakan kempen Gotong-Royong di Bandar Betong kelmarin.
By Saleman Senin, Pejabat Pelajaran Daerah Betong

BETONG, Sabtu (27 Mac) – Sambutan ulang tahun Ke-8 Betong menjadi Bahagian Ke-11 dalam Sarawak menjadi cukup bermakna apabila sejumlah 450 orang penduduk turun padang untuk menjayakan Kempen Gotong Royong Membersih Bandar Betong bermula jam 7.30 pagi kelmarin.
Kesemua penduduk yang turun padang dalam program berkenaan adalah dari 41 buah jabatan kerajaan, pertubuhan, persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), kampung dan agensi yang ada dalam bahagian Betong terbabit.
Program anjuran Majlis Daerah Betong yang turut diserikan lagi dengan kehadiran kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Betong itu telah dirasmikan Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel.
Romie ketika berucap pada majlis berkenaan menjelaskan bahawa program terbabit bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana Sambutan Ulang Tahun ke-8 Betong menjadi Bahagian Ke-11 dalam negeri Sarawak.
“Sambutan telah diadakan pada setiap tahun semenjak gabungan daerah Betong dan Saratok diiktiraf oleh kerajaan menjadi Bahagian Ke-11 dalam negeri ini pada 26 Mac 2002.
“Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menjayakan sambutan. Justeru diharap agar penduduk Betong dapat menghargai nikmat pembangunan dan keamanan yang mereka kecapi semenjak lapan tahun yang lepas,” katanya.
Selain Romie juga menyeru kepada penduduk Betong untuk bersama-sama bagi menyumbang usaha ke arah pembangunan dan kesejahteraan Bandar Betong di masa akan datang.
Betong menurut beliau tidak lagi dianggap sebagai sebuah pekan sebaliknya telah diiktiraf sebagai sebuah bandar yang membangun menerusi hasil usaha kerajaan sebelum ini.
“Pembinaan kawasan rekreasi juga telan dirancang. Pembangunan kawasan bandar baru Betong akan lebih memberi tumpuan kepada kehadiran pelancong-pelancong dari luar untuk datang ke Betong.
“Pembangunan yang pesat di Bahagian Betong membuktikan bahawa kerajaan prihatin dalam merealisasikan visi ‘Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan’ selama ini,” katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Majlis Daerah Betong, Anthony Luta. Pelbagai program telah dirancang oleh Pejabat Residen bersempena dengan sambutan berkenaan antaranya ialah Majlis Makan Malam di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan malam ini.

Saturday, March 27, 2010

Penduduk harus matang dan rasional -YB Robert Lawson Chuat



TANDA INGATAN...Robert Lawson Chuat (kiri) menerima cenderahati daripada Frida (kanan) ketika berlangsungnya program terbabit kelmarin.

BETONG, Rabu (24 Mac)– Penduduk harus berfikiran matang dan rasional dalam menghadapi arus gelombang kedua politik pembangunan di Sarawak selepas ini demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat.
Katanya perubahan iklim pembangunan masa kini menganjakkan satu perubahan transformasi minda dan idea yang menjurus kepada pencapaian kemajuan masa depan enduduk.
"Kita perlu melangkah maju ke hadapan dan lebih berani untuk meneruskan perubahan dalam usaha membentuk jati diri dan kematangan fikiran masing-masing sejajar dengan arus gelombang kedua politik pembangunan di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Betong bertempat di Rumah Agam, Inar, Betong kelmarin.
Katanya, sekarang adalah masanya untuk rakyat menumpukan perhatian kepada konsep pencapaian diri dan pembangunan kawasan disamping mengubah paradigma ke arah yang lebih matang dan rasional.
“Kerajaan pada dasarnya telah banyak menyalurkan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat bukan sahaja di kawasan bandar malah terhadap rakyat di kawasan luar bandar selama ini.
“Adalah cukup rugi sekiranya rakyat tidak mengambil kesempatan dari arus pembangunan tersebut yang akhirnya boleh membantut kemajuan hidup rakyat itu sendiri,” katanya.
Terdahulu, Lawson telah menyampaikan peruntukan berupa cek kepada beberapa buah jawatankuasa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta rumah panjang sekitar kawasan Rimbas Ulu, Betong.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai KEMAS Daerah Betong, Frida Suntik, Setiausaha Politik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Ricard Rapu, Penyelia-penyelia KEMAS Betong, para ketua jabatan kerajaan dan ketua kaum di kawasan Rimbas Ulu.
sumber :utusansarawaksriaman

Thursday, March 25, 2010

Taib umum rombakan Kabinet Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengumumkan rombakan kecil Kabinet Sarawak yang menyaksikan kenaikan pangkat seorang menteri muda dan dua pelantikan baru, yang akan berkuatkuasa 2 April ini.Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, dinaikkan menjadi Menteri di Pejabat Ketua Menteri, yang akan menjaga bidang pendidikan, latihan dan pembangunan wanita.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kawa, Tan Joo Phoi, dilantik sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, yang akan membantu Ketua Menteri dalam isu alam sekitar. Manakala Datuk Amar Adenan Satem, yang pernah menjadi Menteri di peringkat Pusat dan negeri, kembali semula dengan dilantik sebagai Penasihat Khas Ketua Menteri, jawatan yang berstatus Menteri, dengan bidang tanggungjawab di bidang penerangan dan penyiaran.

sumber:beritaharian

Monday, February 22, 2010

Kerajaan pastikan 56 projek tebatan banjir berjalan lancar - Dato Sri Douglas Uggah Embas


YB DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS
Kerajaan akan memastikan agar pembinaan kesemua 56 buah projek tebatan banjir di negara ini dapat dilaksanakan dengan penuh lancar pada tahun ini demikian menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas.Pembinaan projek tebatan banjir yang menelan kos bernilai RM1 bilion itu menurut Uggah dijangka akan memberi faedah terhadap 400,000 penduduk dalam negara ini apabila ia sudah siap kelak.“Ia merupakan salah satu usaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mengurangkan masalah banjir yang sering melanda penduduk dalam negara ini.“Justeru dengan siapnya 56 buah projek terbabit pada masa akan datang maka diharap agar kesemua 400,000 penduduk di negara ini akan memperoleh manfaat daripadanya,” katanya.Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Anthony Angkau, Menyalin Baru, Debak, Betong kelmarin.Selain itu Uggah turut memberitahu bahawa perlaksanaan projek tebatan banjir itu juga adalah merupakan salah satu daripada Kunci Penunjuk Prestasi atau KPI Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.“Pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah berjaya membina sejumlah 42 tebatan banjir dengan membabitkan kos perlaksanaan bernilai RM1.2 bilion pada tahun lepas.“Disamping memberi fokus terhadap projek pembinaan tebatan banjir, KPI ke-2 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ialah untuk memastikan kualiti udara yang baik di negara ini,” katanya.Beliau menambah bahawa pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menetapkan sasaran sebanyak 90 peratus daripada jumlah keseluruhan bilangan hari bagi tahun ini bebas daripada gejala jerebu.“Malahan pihak kementerian juga memberi tumpuan terhadap tahap kebersihan sungai di negara walaupun ia bukan sebahagian daripada KPI. Bagaimanapun saya berharap agar Sistem Tagang dapat diperluas untuk memulihara sungai dalam negeri ini,” katanya.
SUMBER :UTUSANSARAWAKCAWANGANSRIAMAN

Sunday, February 21, 2010

YB Dato Sri Douglas Uggah Embas kunjungi masyarakat Tionghua Debak



Oleh Hazemi (koresponden Debak/Spaoh)


Rakyat di Debak disaran agar terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana kerajaan sahaja yang dapat memberi kemajuan dan pembangunan kepada rakyat, demikian kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Dato Sri Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau, apa gunanya rakyat menyokong pihak pembangkang yang hanya pandai berkata tetapi tidak dapat melaksanakan apa yang dikata oleh mereka itu sendiri.
‘Rakyat harus pandai menilai mana yang baik dan buruknya sesuatu perkara, justeru itu teruslah memberi sokongan yang padu dan kuat kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk kesinambungan projek pembangunan yang berterusan.
Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap merasmikan dua majlis berbeza iaitu Program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran JASA Betong dan Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Chung Hua Debak yang masing-masingnya diadakan di Rh Angkau, Menyalin dan Dewan Serbaguna SJK Chung Hua, Debak. Katanya, adalah terlalu rugi bagi rakyat untuk terus menyokong pihak pembangkang dan turut serta dalam kempen mereka yang cuba menabur fitnah kononnya kerajaan mengabaikan tanggungjwap mereka.
Jelasnya, sehingga kini pelbagai projek pemabngunan bukan sahaja kepada infrastruktur dan ekonomi rakyat tetapi bantuan pendidikan kepada anak-anak dan warga tua serta penduduk yang kurang mampu diberi perhatian dan telah dilaksanakan oleh kerajaan sambil menambah rakyat seharusnya bersyukur atas nikmat pembangunan yang dicapai.
‘Bekalan air bersih yang menjadi isu utama di sesetengah kawasan rumah panjang serta bekalan elektrik akan terus dilaksanakan secara berperingkat dan tidak lama lagi kemudahan tersebut akan terus dinikmati oleh rakyat dan segala masalah yang timbul akan terus diperbincangan diperingkat atasan, tambahnya.
Disamping itu, beliau juga menyarankan agar rakyat disini terus bersatu padu tanpa mengira perbezaan kaum dan agama dan gagasan 1 Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri menjadi teras utama kepada pengukuhan perpaduan kaum.
Dalam pada itu, Uggah berharap agar dalam pilihanraya yang akan datang, rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan BN dengan mendapat keputusan yang cemerlang, agenda politik pembangunan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud akan terus terlaksana dan rakyat terus menikmati arus pembangunan.
Terdahulu Uggah telah menyumbangkan peruntukan RM 5,000 (makan malam), RM24,000 (Bina Pra Sekolah), RM10,000 (Tokong Cina, Debak) serta bantuan 58 buah rumah Cina kebun setiap satu buah bernilai RM 300, bersih sungai RM 2,000 beberapa buah rumah panjang i Ulu Rimbas dan JKKK masing-masingnya RM 2,000 (sumbangan bersama YB Robert Lawson Chuat). Manakala YB Dr Wahbi menyumbang RM5,000 (PIBG Chung Hua), RM 2,000 (makan malam) dan RM3,000 (Persatuan Tiong Hua, Debak)
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Datin Doreen Mayang (isteri Douglas), serta isteri Robert Lawson, Dr Richard Rapu (Setiausaha Politik Menteri Sumber Asli), Friday Belik (Pegawai Daerah Betong) Dr James Luing, Tony Malang (Ketua Pergerakan PEMUDA PBB N. 32 Bukit Saban), ketua-ketua jabatan kerajaan dan pemipin-pemimpin masyarakat.

YB Dato Sri Douglas Uggah Embas kunjungi masyarakat Tionghua Spaoh


Tradisi kunjung mengunjung harus dikekalkan dalam semua perayaan termasuk Tahun Baru Cina, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Dato Sri Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, tradisi ini membuktikan bahawa semua kaum saling memahami tradisi masing-masing dengan semangat 1 Malaysia gagasan Perdana Menteri, rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus mengekalkan semangat perpaduan.
Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena perayaan ulang tahun ke-50 Persatuan Tiong Hua dan Tahun Baru Cina 2010 di SJK Chung Hua, Spaoh malam, semalam ( Khamis ).
Jelasnya,keunikan kaum di Malaysia ialah mereka dapat meraikan bersama-sama setiap perayaan seperti Tahun Baru, Krismas, Gawai dan Hari Raya. Katanya, ia membuktikan bahawa kita sefahaman dan memahami antara satu sama lain, sambil menyatakan tradisi kunjung mengunjung bukan sahaja untuk bergembira tetapi dapat merasai suasana setiap perayaan pelbagai kaum.
Jelasnya, semangat ini harus dikekalkan dari semasa kesemasa bukan sahaja pada musim perayaan. Tambahnya, perpaduan kaum harus disemai kerana ia dapat menjamin kesejahteraan negeri dan negara. ‘ Kita perlu membuktikan bahawa 1 Malaysia adalah untuk semua kaum. Jika kaum-kaum di negara kita tidak sefahaman mungkin akan berlaku pelbagai perkara yang tidak kita ingini, tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memberi penghargaan kepada persatuan Tiong Hua Spaoh kerana berjaya menganjurkan majlis yang penuh gemilang ini. Katanya, tanpa kesungguhan dan komitmen yang tinggi tidak mungkin dua majlis yang serentak ini dapat dilaksanakan. Oleh itu, beliau mahu agar persatu ini akan terus kukuh dan aktif demi untuk pembangunan dan kejayaan berterusan Persatuan Tiong Hua Spaoh sambil menambah persatuan Tiong Hua Debak dan Pusa perlu juga seiring untuk terus maju dan berjaya seperti apa yang dianjurkan pada malam ini, ujarnya.
Disamping itu, Uggah juga merakamkan penghargaan kepada kaum Cina yang turut serta memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya dan beliau berharap agar sokongan tersebut diteruskan demi untuk kesinambungan pembangunan berterusan.
Ugah yakin dengan semangat serta komitmen itu, setiap kali pilihanraya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional.
Tentang masalah gangguan air bersih di Spaoh sejak kebelakangan ini, beliau berkata masalah tersebut telah diperbincangkan ke pihak atasan dan proses perlaksanaan untuk mengelakan gangguan berterusan akan dilaksanakan dalam masa terdekat sambil beliau telah memperuntukan sebanyak 75 unit tangki air muatan 400 gelen kepada masyarakat Cina disini.
Terdahulu, Uggah dan Lawson Chuat telah menyampaikan insentif UPSR 2009 kepada pelajar cemerlang, penyampaian ampau, cenderahati kepada mantan pengerusi Persatuan Tiong Hua dan pelbagai cenderahati lain dalam majlis tersebut.
Dalam majlis tersebut Uggah telah menyumbangkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Tiong Hua Spaoh. Manakala Lawson Chuat telah menyumbang peruntukan untuk Persatuan Tiong Hua dan PIBG yang masing-masingnya berjumlah RM5,000. Untuk SJK Chung Hua, Uggah dan Lawson telah meluluskan RM20,000 untuk makmal komputer (pembelian peralatan dan baikpulih ) disamping menyumbang 5 buah kompter baru untuk kegunaan pelajar sekolah tersebut.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ybg Datin Doreen,YB Robert Lawson Chuat ADUN Bukit Saban serta Isteri,En Friday Belik Pegawai Daerah Betong, Kapitan Goh Leng Thong, Dr Richard Rapu Setiausaha Politik, ketua-ketua jabatan kerajaan, ketua-ketua masyarakat.
Sumber:sarawaupdate

Wednesday, February 17, 2010

Betong mulakan inisiatif Program Peningkatan Kebolehan Pelajar

SERIUS...YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu (dua kanan) bersama
YB Dato Sri Douglas Uggah Embas (dua kiri), YB Robert Lawson Chuat (kiri sekali) dan Pemanca Kueh (kanan sekali) ketika menghadiri majlis berkenaan.

Tiga buah sekolah rendah dalam Bahagian Betong telah dipilih untuk menjayakan projek perintis Program Peningkatan Kebolehan Pelajar di kawasan Parlimen Betong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar selepas ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang mengumumkan bahawa tiga buah sekolah terpilih ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Betong, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Kadir dan SK Saint Augustine, Betong.
“Projek perintis ini dilancar setelah mengambilkira kepentingan pembangunan pendidikan untuk masa depan negara yang kini diletak sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA.
“Saya bersama Dato Sri Douglas Uggah Embas selaku Ahli Parlimen Betong telah mengambil inisiatif sendiri untuk memulakan projek perintis Program Peningkatan Kebolehan Pelajar di sini (Betong),” katanya.
Jabu yang Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Mesra 1Malaysia bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina 2010 anjuran Persatuan Chung Hua di SJK Chung Hua, Betong malam tadi.
Selain itu katanya program itu nanti bakal melibatkan keperluan pakar pendidikan dalam meningkatkan kebolehan pelajar bagi beberapa jenis matapelajaran penting seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris serta Bahasa Malaysia.
Justeru beliau bersama Uggah telah berjanji untuk mendapatkan dana berjumlah RM30,000 untuk membiayai Program Peningkatan Kebolehan Pelajar bagi bagi ketiga-tiga buah sekolah rendah yang telah terpilih untuk tujuan itu.
“Saya berharap agar Program Peningkatan Kebolehan Pelajar itu nanti akan mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada para guru, pelajar, pejabat pelajaran dan juga ibu bapa murid bagi sekolah yang terlibat.
“Sekiranya Program Peningkatan Kebolehan Pelajar ini berjaya maka ia secara tidak langsung akan diperluaskan ke lain-lain sekolah lain terutamanya bagi sekolah yang berprestasi rendah,” katanya.
Menteri Sumber Asli, Datuk Seri Douglas Uggah anak Embas, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan Pengerusi Chung Hua Betong, Pemanca Kueh Tu Teck turut hadir sama bagi memeriahkan suasana sambutan Majlis Ramah Mesra 1Malaysia bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina 2010 anjuran Persatuan Chung Hua di Betong malam tadi.
sumber: utusansarawaksriaman