Monday, November 30, 2009

15 hari untuk Jabu kemuka pelan pertanian kepada EPU


...Jabu (duduk tengah), Romie (kanan) dan Friday (kiri) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama penerima dan pegawai kerajaan pada majlis itu hari ini.


BETONG, Jumaat (27 Nov) – Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Kuala Lumpur memberi tempoh selama 15 hari kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang untuk mengemukakan rancangan pembangunan pertanian di negeri ini bagi dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar akan memegang portfolio Menteri Permodenan Pertanian berkuatkuasa pada 1 Disember ini setelah rombakan Kabinet Kerajaan Negeri dibuat pada 8 November lepas.“Saya sudah pun mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Tetap Kementerian Permodenan Pertanian, para pengarah dan pegawai kanan Jabatan Pertanian di negeri berhubung perkara terbabit semenjak tiga hari lepas.“Bagaimanapun untuk mendapatkan pandangan dan input yang jelas mengenai rancangan permodenan pertanian dalam negeri ini, saya akan mengadakan perbincangan rapi dengan setiausaha tetap, pengarah dan pegawai kanan di Kementerian Permodenan Pertanian pada 2 Disember ini,” katanya.Dari perbincangan lanjut ini katanya, barulah pelan rancangan pembangunan pertanian terbabit dapat dihantar kepada pihak EPU di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya pada 12 Disember ini untuk dimasukkan dalam RMK10.Jabu berkata demikian kepada pihak media sebaik sahaja selesai Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) bertempat di Rumah Rehat Betong di sini hari ini.Sementara itu ketika diminta untuk mengulas lebih lanjut mengenai isu penyelewangan 60 peratus peruntukan projek pembangunan di negeri ini, Jabu menjelaskan bahawa para Pegawai Daerah atau Residen yang disiasat dalam kes tersebut tidak seharusnya dipersalahkan terlebih dahulu.“Selagi-lagi mereka (Pegawai Daerah atau Residen) belum dibuktikan bersalah maka mereka adalah tidak bersalah. Jangan anggap mereka perlu dipindahkan tempat bertugas kerana pada zahirnya kes ini masih dalam siasatan.“Kita mempunyai proses undang-undang yang sah bagi mengendalikan kes ini. Jadikan biarkanlah pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes tersebut,” katanya.Terdahulu Jabu telah menyampaikan cek peruntukan MRP kepada 24 buah persatuan, sekolah, surau, JKKK dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam kawasan Betong yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM112, 200.Hadir sama ialah Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Betong, Peggy Ronin, Pegawai JASA Zon Betong, Dingat Panji dan para pegawai jabatan kerajaan yang lain.
sumber:Utusansriaman

Pencapaian pendidikan perlu seimbang dengan 'pelaburan kerajaan' kata Jabu




SIMBOLIK........Jabu sambil disaksikan oleh Uggah (kiri), Lawson (kanan) dan Romie (belakang) sedang melepaskan anak ikan sebagai salah satu acara simbolik majlis di sini hari ini.







SPAOH, Sabtu (28 Nov) – Pencapaian pendidikan di Bahagian Betong harus setimpal dengan penyediaan kemudahan pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan terhadap rakyat di sini selepas ini demikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.
Menurut beliau adalah tidak berbaloi sekiranya pencapaian pendidikan di sini kurang memuaskan walaupun kerajaan telah banyak menyediakan kemudahan pendidikan di Bahagian Betong sehingga sekarang.
“Disamping jumlah sekolah rendah dan sekolah menengah yang mencukupi untuk menampung jumlah kapasiti pelajar di Betong, kerajaan di sini juga turut membuka sekolah teknikal terbaru yang dikenali sebagai Junior Mara Science School, Maktab Rendah Sains Mara Betong.
“Kerajaan mahu penyediaan kemudahan pendidikan di sini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat. Dengan kata lain pencapaian pendidikan mereka harus seiring dengan kemajuan pembangunan pendidikan yang kita sediakan di sini sekarang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Paku Central di Spaoh, Betong hari ini.
Selain itu sikap serius kerajaan dalam mewujudkan keseimbangan pendidikan di sini menurut Jabu terbukti dengan adanya pelan pembinaan politeknik menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 nanti.
“Justeru semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan di sini iaitu guru, ibubapa dan pelajar perlu menekankan betapa pentingnya aspek pendidikan dalam golongan generasi muda demi masa depan hidup mereka selepas ini,” katanya.
Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel.
Beliau mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru SK Paku Centreal dan RM10,000 lagi untuk tabung pendidikan sekolah terbabit.
Manakala Uggah pula mengumumkan peruntukan bernilai RM100,000 untuk menaiktaraf sistem peparitan sekolah, RM50,000 untuk menaiktaraf jalan sekolah dan RM10,000 untuk tabung pendidikan sekolah berkenaan.
sumber:utusansriaman

Friday, November 27, 2009

Salam Aidil Adha.......



Bujangbetong mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua umat Islam di mana saja berada, khususnya pengunjung Blog JASA dan semua kakitangan JASA yang beragama Islam.

Tingkatkan perpaduan kaum, Robert Lawson

YB Encik Robert Lawson Chuat anak Vincent Entering ADUN N.32 Bukit Saban sedang menerima cenderamata daripada TR Banyang anak Aji, Melabu, Ulu Layar, Betong


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat menyeru semua rakyat berbilang kaum dalam negeri ini untuk mempertingkatkan lagi tahap hubungan perpaduan dalam kalangan diri masing-masing .
Semua rakyat berbilang kaum khususnya di Betong harus sentiasa bersatu padu memandangkan perpaduan yang wujud dikalangan mereka mampu mewujudkan lagi kestabilan politik dalam negeri ini.
“Andai kata wujudnya kelemahan dalam hubungan perpaduan ini maka ia sekaligus dapat menjurus kepada ketidakstabilan politik yang seterusnya memberi impak negatif terhadap perlaksanaan projek pembangunan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Ehwal Khas (JASA) Parlimen P. 204 Betong, di Rumah Banyang ak Aji di Melabu /Bair, Ulu Layar, Betong pada hari Ahad lalu.
Selain itu kata Lawson rakyat berbilang kaum dalam kawasan luar bandar adalah amat beruntung memandangkan hubungan perpaduan yang kukuh dikalangan mereka selama ini membolehkan banyak projek pembangunan dilaksanakan di situ selepas ini.
“Ia sekaligus telah membuktikan keprihatinan pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang mementingkan wujudnya hubungan di antara rakyat selama ini,” katanya.
Dalam majlis itu Lawson telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM80,000 kepada 11 buah rumah panjang yang hadir dalam majlis itu.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik anak Utau, Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia. Dr Richard Rapu, Wakil Pegawai Daerah Betong SAO Akoi Ejau, Pegawai JASA Bahagian Betong Digat Panji dan para ketua jabatan dalam daerah ini.


sumber: sarawakupdate

Tuesday, November 24, 2009

Chin Peng: Tiada Maaf Bagimu

PUTRAJAYA: Kerajaan masih kekal dengan keputusan sebelum ini untuk tidak membenarkan kepulangan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata seperti pendirian yang dibuat sebelum ini, kerajaan prihatin atas sentimen rakyat yang masih marah atas keganasan yang dilakukan oleh pemimpin komunis itu semasa darurat dahulu.
"Sebab-sebabnya umum sudah tahu masih ramai di kalangan rakyat yang waktu darurat dulu menghadapi musibah daripada keganasan yang sehingga hari ini mereka tidak boleh lupakan.
"Sebagai kerajaan yang prihatin atas sentimen rakyat yang masih membara itu, kita memutuskan untuk tidak bersedia menerima walaupun dia memohon maaf," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-7, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan maaf bekas pemimpin PKM itu yang disiarkan dalam sebuah akhbar Inggeris tempatan semalam.
Bagaimanapun, katanya jika ada perubahan dari segi keputusan, perkara itu perlu dibincang semula dalam Kabinet tetapi keputusan yang sudah dibuat itu masih lagi kekal.
"Setakat hari ini, tiada maaf bagimu," katanya.
Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengingatkan bahawa tidak perlu ada sesiapa lagi menemui Chin Peng dan membangkitkan tentang bekas pemimpin PKM itu yang telah banyak membawa durjana kepada negara.
Katanya banyak perbincangan telah dibuat mengenai Chin Peng dan keputusan telah diambil oleh rakyat bahawa ketua pengganas itu ditolak sepenuhnya di negara ini.
Sumber : BERNAMA

Monday, November 23, 2009

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2009 Anjuran Komuniti Bestari Kpg Spaoh Pada 17/10/2009



Keadaan Dewan Serbaguna Spaoh yang penuh sesak dengan pengunjung pada majlis tersebut.


Kelihatan YB Dato Sri sedang menyalakan pelita sebagai Acara Simbolik Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2009

Tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah YB Dato Sri Douglas Uggah Embas; Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar Malaysia Merangkap Ahli Parlimen P.204 Betong. Turut hadir pada majlis tersebut ialah YB Robert Lawson Chuat; ADUN N.32 Bukit Saban.
Majlis yang penuh meriah & dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat sehingga menyebabkan dewan tersebut penuh sesak memang menjadi bukti akan semangat 1Malaysia yang dicanag-canagkan oleh YAB Perdana Menteri kita. Kaum lain di sekitar pekan Spaoh seperti kaum Iban & Cina turut berduyun-duyun datang sambil merayakan majlis tersebut bersama-sama dengan masyarakat Melayu di Spaoh.Pada majlis tersebut turut diadakan majlis penyampaian sijil & hadiah pertandingan-pertandingan yang telah diadakan sempena perayaan Hari Raya seperti pertandingan lampu/pelita Raya terindah dan sebagainya. Pada majlis berkenaan juga, YB Dato Sri telah bermurah hati menyampaikan sumbangan seperti pembelian 300 buah kerusi untuk Dewan Serbaguna Spaoh, RM20 Ribu untuk membaiki kipas & kerosakan di dewan tersebut (untuk tahun depan) & RM6 Ribu untuk Komuniti Bestari di sana. YB Robert Lawson Chuat juga telah bermurah hati memberi peruntukan tambahan sebanyak RM3 Ribu utk setiap surau, RM4 Ribu utk Masjid Spaoh & RM10 Ribu utk Komuniti Bestari Spaoh. Sementara itu, YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu juga akan memberi peruntukan RM10 Ribu untuk tahun depan.Dalam ucapan YB Dato Sri, pelbagai projek berjumlah RM1.5 Juta utk tahun ini telah & sedang dilaksanakan melalui peruntukan Ahli Parlimen untuk daerah Spaoh sahaja; ini tidak termasuk subsidi pemberian kerajaan.

Sunday, November 22, 2009

Husam letak jawatan?

Oleh AZRAN FITRI RAHIMazran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 21 Nov. – Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan yang merupakan satu lagi episod yang menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.
Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz sebaliknya memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.
Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan yang dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
Abdul Ariffahmi yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan menantu Nik Abdul Aziz.
Namun Pas Kelantan melalui Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Zaki Ibrahim berkata, perkara itu hanya khabar angin dan mereka tidak mahu mencampuri isu yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena dengan politik.
Sumber memberitahu, hasrat Husam untuk berundur telah dikemukakannya kepada Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan pada pertemuan empat mata Selasa lalu.
“Husam bertemu dengan Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat atau menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku dalam PMBK dan penjelasan itu diterima, tetapi hasratnya untuk meletakkan jawatan ditolak.
“Nik Abdul Aziz telah mengumumkan Husam cuti selama lima hari bermula hari ini pada mesyuarat Badan Perhubungan Pas Kelantan di kediaman rasminya, JKR 10 pagi tadi. Beliau (Husam) tidak hadir pada mesyuarat ini,” kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, sebuah portal berita melaporkan Husam mendakwa wujud konspirasi untuk menyingkirkan beliau daripada pentadbiran kerajaan negeri dengan mencetuskan perbalahan di antara beliau dengan Nik Abdul Aziz.
Malah khabar angin menyatakan bahawa Mursyidul Am Pas itu sedang menimbangkan untuk menggugurkan Husam daripada barisan Exco Kelantan ekoran isu pemecatan Syed Azidi Syed Abdul Aziz sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK minggu lalu.
Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat sebagai antara orang kanan Husam.
Sumber itu berkata, dalam tempoh cuti tersebut, Husam juga akan menjalani pembedahan tulang belakang selepas ditangguhkan sejak dua bulan lalu.
“Husam sebelum ini beberapa kali menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya beliau menjadi liabiliti kepada parti.
“Tetapi khidmat beliau masih diperlukan dalam membantu Nik Abdul Aziz mentadbir negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Zaki menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai khabar angin.
Katanya, Pas Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena soal politik.
“Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini).
“Kita tidak pernah membincangkan soal ini, sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar,” katanya.