Saturday, March 24, 2012

Kerja Sukat Tanah NCR Dit dan Nyabor

Anthony Aboi sedang berucap



BETONG : Penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera ( NCR ) termasuk penyukatan Kampung Tradisi bukanlah perkara baru. Meskipun sibuk dengan penyukatan perimeter tanah NCR di bawah Inisiatif Baru NCR, namun Jabatan Tanah dan Survei ( JTS ) tetap terus menjalankan kerja-kerja penyukatan Kampung Tradisional bagi Kampung Dit, Debak dan Kampung Nyabor, Kabong.
Kerja-kerja penyukatan tanah NCR bagi 107 buah kawasan dengan keluasan lebih kurang 380,000 hektar yang akan diwartakan sebagai Rezab Gunasama di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan tidak termasuk tanah NCR untuk kegunaan Kampung Tradisi adalah merupakan proses dan usaha berterusan Kerajaan untuk membantu rakyat bagi mendapatkan surat pemilikan ke atas tanah masing-masing.
Antara lain tujuan majlis diadakan adalah untuk memaklumkan kepada penduduk di kedua-dua buah Kampung yang JTS akan menjalankan kerja-kerja penyukatan Kampung mereka dalam masa terdekat setelah mendapat kelulusan daripada Ibu Pejabat.
Penyukatan lot-lot individu dan seterusnya pengeluaran surat hakmilik tanah itu kelak adalah bagi mengelakkan tomahan daripada segelintir pihak yang menganggap rumah yang tidak bersukat itu sebagai setinggan. Selain daripada itu, penyukatan ini adalah merupakan satu pengiktirafan daripada Kerajaan dengan mengeluarkan surat hakmilik tanah kekal di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
Dalam dialog yang diadakan di Kampung Dit, Debak Anthony Aboi selaku Penguasa Tanah dan Survei, Betong menyeru kepada semua penduduk kampung agar dapat memberi kerjasama kepada JTS dalam menjalankan kerja-kerja penyukatan itu kelak. Sekiranya ada sebarang pertikaian, adalah diharapkan supaya ianya dapat diselesaikan sebelum JTS memulakan kerja-kerja penyukatan.
Menurut Muhamad bin Hamid, Ketua Kampung(KK) Kampung Dit, Debak beliau mengucapkan berbanyak-banyak berterima kasih kepada Kerajaan khasnya dan JTS amnya kerana telah meluluskan permohonan yang telah mereka pohon sejak sekian lama. Denag kelulusan yang telah diberikan, beliau juga mengharapkan agar pihak JTS dapat memulakan kerja-kerja penyukatan lot-lot kampung mereka dengan segera.
Majlis turut dihadiri oleh Dr. James Luing, Pegawai Menguasa Daerah Debak, Tuan haji Sapiee Alwi mewakili YB Mohd Razi Sitam, ADUN N.30 Saribas, Penghulu Abg Kifrawi bin Abg Rukaili, serta penduduk-penduduk Kampung Dit, Debak.
sumber : sarawakupdate

Monday, March 5, 2012

Potensi Perniagaan Pintar Dan Pertanian


















teks dan gambar oleh Affendi Mohd Yusof :




Penduduk di luar bandar terutama di Betong tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan malah ada sahaja perancangan dibuat bagi memastikan mereka terus berada dalam arus pembangunan nasional. Sehubungan dengan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata satu pelan komprehensif akan dirangka oleh Pejabat Residen Bahagian Betong untuk mengenalpasti potensi-potensi yang diketengahkan dari bahagian itu. “Objektifnya hanya satu iaitu untuk menaiktaraf status ekonomi dan kehidupan penduduk luar bandar menerusi program pembangunan yang terancang baik dari segi perniagaan dan pertanian”, ujar beliau. Sehubungan itu beliau meminta penduduk Betong untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional yang mempunyai agenda dan misi yang jelas untuk membantu rakyat dan bukannya seperti pembangkang yang hanya tahu menabur janji kosong dan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan. Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Menara Telekomunikasi Time 3 SACOFA dan menyerahkan 35 komputer riba 1Malaysia anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Tanjung Assam dekat Betong hari ini. “Dengan adanya menara ini, penduduk luar banbar bolehlah berhubung dengan masyarakat dunia atau menggunakan kemudahan internet dan selular untuk mendapat informasi dan ilmu pengetahuan”, ujar beliau lagi sambil menambah internet jika disalahgunakan boleh membawa padah kepada diri sendiri dan masyarakat di sekeliling. Sementara itu, Pengarah SKMM Sarawak, Ahmad Nor Hisham Mohamad Yusop berkata kadar penebusan jalur lebar di Sarawak pada masa ini adalah sekitar 47.9 peratus manakala liputan selular adalah 84 peratus. “Insya-Allah kita akan tingkatkan penembusan internet sehingga 55 peratus dan liputan selular hingga 90 peratus di Sarawak melalui pembinaan banyak lagi menara telekomunikasi di seluruh negeri tahun ini”, katanya. “Kita juga akan melaksanakan 459 projek Kampung Wi-Fi di seluruh Sarawak tahun ini termasuk 21 projek di Betong selain mengedarkan 4,700 unit komputer riba 1Malaysia di bahagian Betong”, katanya lagi sambil menambah pihaknya sedang menunggu senarai nama penerima yang layak untuk komputer riba di Bahagian Betong. Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA, Dato Ir Abang Jemat Abang Bujang berkata kerajaan akan membina 103 menara telekomunikasi lagi di seluruh Sarawak tahun ini di mana 80 menara akan dibina oleh SACOFA manakala selebihnya oleh syarikat penyedia telekomunikasi lagi. “Menara-menara ini akan menyediakan khidmat telekomunikasi untuk selular dan internet dan sebahagiannya akan disambungkan dengan fiber optik untuk capaian internet berkuasa tinggi”, katanya.

21 Kampung Wifi Untuk Betong















Spaoh:- 21 lagi projek Kampung Tanpa Wayar atau lebih dikenali sebagai Kampung Wi-Fi akan dilaksanakan dalam bahagian Betong tidak lama lagi untuk mengurangkan jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas.
Perlaksanaannya adalah di bawah initiatif Jalur Lebar Negara yang dikemudikan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Setakat ini Betong memiliki empat Kampung Wi-Fi yang beroperasi di Kampung Bungin dekat Spaoh, Pekan Spaoh, Pekan Betong dan Rumah Wilson Begat Bakir, Ulu Paku.
Menurut Dato Sri Douglas Uggah, program seperti ini amat penting kerana komputer kini merupakan peranti yang mudah untuk menjelajah dunia tanpa sempadan dan segala maklumat boleh diperolehi pada hujung jari.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong menyatakannya dalam majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia kepada 570 penerima di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Muda Kebajikan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan ADUN Saribas, Mohd Razi Sitam.
Selain Kampung Wi-Fi, Betong juga mempunyai Perpustakaan Jalur Lebar yang beroperasi di Perpustakaan Awam Betong dan Mini Pusat Jalur Lebar Komuniti yang beroperasi di Pejabat Penerangan Betong.
“Gunakan lah pemberian kerajaan ini secara berhemah dan beretika” ujar beliau sambil menambah banyak kebaikan dalam dilakukan melalui internet termasuk berinteraksi di alam siber dengan pelayar lain di seluruh dunia, memudahkan urusan dokumentasi dan file persatuan dan pertubuhan setempat dan mempromosi barangan perniagaan.
Pelajar juga boleh mengakses internet untuk mencari maklumat-maklumat tentang pelajaran, mencari nota-nota tambahan tentang pelajaran dan menambang pengetahuan mereka.
“Internet juga ada kesan buruknya apabila kita tidak berhemah menggunakannya seperti melayari laman sesawang lucah dan melakukan penipuan siber”, ujarnya lagi.
Sejumlah 107,400 unit komputer riba 1Malaysia sedang diagihkan oleh SKMM di bawah fasa ketiga program tersebut di Sarawak termasuk 4,700 unit di Betong.
Pada April tahun lalu, SKMM telah melaksanakan fasa kedua yang melibatkan pemberian 60,268 unit komputer riba 1Malaysia kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan orang awam.
Fasa pertama pada 2010 melibatkan pemberian 14,500 unit komputer 1Malaysia.

Sumber : sarawak update

Friday, March 2, 2012

Buktikan Komitmen Rakyat, Jabu















Sumber : Affendi Mohd Yusof



Rakyat di luar bandar diminta terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional yang terbukti telah membela nasib mereka sejak dahulu lagi, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Mereka juga perlu terus bergerak selari dengan arus pembangunan yang pesat di dalam negara jika mahu nasib anak cucu mereka cerah di kemudian hari.
“Jangan sekali anda menyimpang dari arus pembangunan hanya kerana tertipu dengan janji kosong dan dakyah segelintir pihak yang kemaruk kuasa”, katanya ketika majlis penyerahan komputer riba 1 Malaysia dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di Nanga Lawih, Ulu Spak di sini hari ini.
Kerajaan menurut beliau telah melakukan perancangan teliti untuk mengubah nasib penduduk luar bandar melalui agenda transformasinya.
“Kita tidak akan berjaya dalam agenda transformasi ini jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama rakyat” ujar beliau.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Betong, Dato Sri Douglas Uggah Embas mengingatkan penduduk luar bandar supaya tidak mudah percaya dengan parti pembangkang.
“Di manakah mereka selepas selesai Pilihanraya Negeri Sarawak tahun lalu?” tanya Dato Sri Douglas yang menganggap parti pembangkang seperti parti bermusim.
Menurut beliau, hanya Barisan Nasional sahaja yang sanggup datang ke kawasan pedalaman pada waktu bukan pilihanraya kerana pemimpinnya amat komited membela nasib rakyat.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 38 buah komputer riba 1 Malaysia diagihkan kepada mereka yang layak dari setiap pintu manakala penerima BR1M pula berjumlah 350 orang.

Tuesday, January 10, 2012

RM4.2 juta pampasan tanah diagih di beberapa kawasan di Betong

BETONG: Sejumlah RM4.2 juta pampasan tanah telah diagihkan kepada masyarakat di beberapa kawasan di Betong yang telah terlibat dengan beberapa projek yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun lepas.
Ia meliputi projek penaiktarafan dan pembinaan jalan di beberapa kawasan seperti Jalan Nanga (Ng.) Linsum/Mara/Melanjan/Jelang/Luing/Kerapa sepanjang 8.1 kilometer (km), Jalan Mara/Selangking /Kerapa/Luing/Temedak sepanjang 17.3 km dan Jalan Luing/Gerugu/Penyuin/Ijok/Muman sepanjang 7.2 km.
Penyerahan pampasan ini adalah melibatkan 262 penerima dari beberapa kawasan di Betong dan upacara itu telah dilangsungkan di Rumah Lanyau Jembu@Johnical, Ng Linsum, Layar, Betong, pada 08 Januari 2012 di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Betong dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong.
Majlis Pemimpin Bersama Rakyat berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Jabu dalam majlis tersebut berkata, rampasan tanah rakyat sebenarnya tidak berlaku seperti yang diperkatakan oleh pihak pembangkang yang sengaja membangkitkan isu tersebut di kawasan pedalaman.
“Jadi isu merampas tanah rakyat yang tanpa sebarang pampasan adalah jelas tidak berlaku selama ini seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang, malahan kerajaan melalui Inisiatif Baharu Tanah Adat Bumiputera (NCR) telah mengiktiraf semua tanah di kawasan Ulu Layar, Betong sebagai tanah NCR.
Proses pengukurannya telah siap dan kini menunggu masa untuk diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
“Sejak tahun 2008 sehingga hari ini, jumlah pampasan yang telah dibayar di bahagian Betong adalah sebanyak RM15.3 juta yang melibatkan seramai 2,107 orang penerima bagi 49 projek.
“Apakah itu dikatakan merampas tanah rakyat, malahan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan di kawasan pendalaman adalah untuk kepentingan rakyat juga.
“Justeru, dakwaan mengatakan kerajaan merampas tanah rakyat ternyata tidak berasas jika dilihat kepada jumlah pampasan yang telah dibayar,” kata Jabu.
Katanya, dengan terbinanya hubungan jalan raya itu nanti, beliau yakin yang perjalanan penduduk dari kawasan pedalaman yang selama ini untuk pergi ulang-alik ke bandar Betong mengambil masa satu hari menggunakan perahu akan menjadi lebih mudah dan singkat.
Di majlis tersebut juga, beliau turut menyeru agar rakyat di kawasan pedalaman tidak mudah terpedaya dengan muslihat pihak pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong demi kepentinganya apabila menjelang pilihan raya.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Kebajikan Sarawak Robert Lawson Chuat, Residen Betong Datu Romie Sigan Daniel dan wakil Penguasa Tanah dan Survei Betong Bakeri Samsudin.

Monday, January 9, 2012

31 pintu Rumah Malang Ugap, tinggal sehelai sepinggang



MUSNAH: Keadaan Rumah Malang yang musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.


BETONG: Tiga puluh satu daripada 35 buah keluarga dari Rumah Malang Ugak, Lubau, Layar di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Kebakaran yang tidak melibatkan kemalangan jiwa itu melibatkan kira-kira 200 orang penghuni rumah panjang berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Betong berkata, kebakaran dipercayai bermula pada kira-kira jam 2.30 pagi semalam.
Beliau menjelaskan, hanya empat buah bilik yang terselamat dalam kebakaran itu.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 pagi dan apabila bomba dengan kekuatan 15 anggota tiba di tempat kejadian, 50 peratus rumah panjang itu sudah ranap dijilat api.
“Kami berjaya memadamkan api sepenuhnya pada kira-kira jam 6.10 pagi dan jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya semalam.
Rumah Malang terletak kira-kira enam kilometer dari simpang Layar, Betong.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Uggah Embas dan
Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat turut bergegas melawat tempat kejadian.


sumber :utusansarawak

Monday, October 24, 2011

Taib bercadang ubah pelan Bandar Betong


TAHNIAH...Taib menyerahkan replika cek hadiah wang tunai kepada wakil Kumpulan Wardah sambil disaksikan oleh Ragad dan tetamu khas yang lain pada majlis itu.

BETONG, Sabtu (22 Okt) – Kerajaan bercadang untuk mengubah kembali pelan pembinaan Bandar Betong supaya ia menjadi luas berbanding sebelumnya selepas ini kata Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Jelas beliau pelan Bandar Betong ia sedia ada sekarang nampak begitu kecil dan perlu dirombak kembali oleh kerajaan agar ia dapat dibina dengan lebih besar secara sedikit demi sedikit selepas itu.
“Saya telah bercakap dengan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu (Timbalan Ketua Menteri) berhubung perkara ini selepas meninjau keadaan Bandar Betong dari atas udara dengan menggunakan helikopter.
“Mungkin pelan Bandar Betong sebelum perlaksanaan SCORE (Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak) dulu nampak kecil sangat...jadi mungkin saya terpaksa ubahkan ia (pelan) agar menjadi lebih besar dan ubahkannya sedikit demi sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Nasyid Peringkat Negeri Sarawak 2011 bertempat di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong malam tadi.
Selain itu Taib juga berharap agar perubahan terhadap pelan Bandar Betong berkenaan akan dapat mengumpul lebih daripada 100,000 orang penduduk menjelang tahunm 2030 kelak.
“Justeru saya yakin bahawa Bandar Betong boleh menjadi bandar sihat dan mengikut jejak langkah lain-lain bandar baru dalam negeri ini seperti di Kota Samarahan, Lawas, Mukah, Kapit serta Bintulu,” katanya.
Beliau juga yakin bahawa Bandar Betong akan menjadi tumpuan orang dari kawasan luar bandar yang pergi ke situ dengan menggunakan kenderaan dan bukannya melalui pengangkutan sungai menjelang 10 tahun akan datang.
Bandar Betong pada masa itu kata Taib akan mempunyai seramai 50,000 orang penduduk dan barangan keperluan boleh didapati oleh mereka seperti mana yang ditawarkan di Bandaraya Kuching,
Hadir sama ialah isteri beliau, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Senator Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz, Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman dan para ketua jabatan kerajaan.
Terdahulu Kumpulan Wardah dari Bahagian Sri Aman telah dinobatkan sebagai johan Kategori Tradisi dan sekaligus membawa pulang hadiah wang bernilai RM3,500, sijil dan piala dengan Kumpulan Nadil Nadrawi dari Samarahan memperoleh kedudukan naib johan pada pertandingan itu.
Manakala Kategori Moden menyaksikan Kumpulan Amani dari Limbang muncul johan dan sekaligus membawa pulang hadiah wang bernilai RM3,500, sijil dan piala dengan Kumpulan Aiman dari Sri Aman memperoleh kedudukan naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,500, sijil serta piala pada pertandingan itu.
Tamat.


Posted by sriamannews at Saturday, October 22, 2011